TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Subsidi telur ayam dikurangkan mulai esok, tamat sepenuhnya 1 Ogos - KPKM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 April - Subsidi telur ayam akan dikurangkan kepada lima sen sebiji bermula esok sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos ini. Keputusan tersebut diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selepas mengambil kira komitmen industri untuk memastikan bekalan telur yang mencukupi pada harga yang stabil berikutan kos pengeluaran yang kini dianggap telah pulih.

Menurut kementerian itu, kestabilan bekalan dan harga semasa telah terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu. Justeru, pemberian subsidi yang berterusan dilihat tidak lagi wajar dan perlu disusun semula bagi menjamin kelestarian industri pengeluaran telur tempatan serta kedudukan kewangan negara.

Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk subsidi telur ayam bagi menampung peningkatan kos pengeluaran susulan pandemik COVID-19 dan krisis geopolitik seperti peperangan antara Rusia dan Ukraine yang menjejaskan harga import soya dan jagung bijian. Namun, KPKM menegaskan bahawa subsidi bersifat menyeluruh ketika ini turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi dan warga asing, sekali gus menimbulkan ketidakseimbangan dalam agihan bantuan.

Langkah penyasaran semula subsidi ini akan membolehkan penjimatan kerajaan disalurkan kepada projek-projek yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, selaras dengan pendekatan nilai MADANI.

Dalam usaha mengurangkan kesan kepada kos sara hidup, KPKM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan beberapa bentuk intervensi. Antaranya termasuklah kerjasama dengan industri bagi memperkenalkan telur ayam gred khas pada harga lebih berpatutan serta perluasan inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah yang menawarkan harga lebih kompetitif. Penjualan ini akan berlangsung di outlet milik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di seluruh negara.

Di samping itu, KPDN akan mempergiatkan penguatkuasaan terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah dengan pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

KPKM turut memaklumkan bahawa sebarang aduan atau maklumat berkaitan isu bekalan telur boleh disalurkan melalui e-mel rasmi di pro@kpkm.gov.my atau talian hotline 03-8000 8000. - Media Telus

+ - reset