TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bayi 2 bulan maut, ibu bapa cedera kereta rempuh belakang lori di Jasin

By
|
Kongsi
image

JASIN 30 April – Tragedi meragut nyawa seorang bayi perempuan berusia dua bulan berlaku apabila kereta dinaiki bersama ibu dan bapanya merempuh sebuah lori di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) berhampiran Batu Gajah, petang semalam.

Mangsa, Nur Hafirzah Qintina Shahrul Asraf Naim, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Kemalangan yang berlaku sekitar jam 2.15 petang itu turut menyebabkan ibunya, Nurulnadiah Balqis Abdullah, 22, cedera di kepala, manakala bapa mangsa, Shahrul Asraf Naim Khasiran, 35, luka di bahagian dahi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, nahas dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki tiga beranak itu melanggar bahagian belakang sebuah lori yang sedang membuat pusingan U.

“Lori dipandu lelaki tempatan berusia 33 tahun itu dari arah lampu isyarat Lebuh AMJ Merlimau menuju Batu Gajah.

“Setiba di lokasi, kereta dinaiki tiga beranak ini telah merempuh bahagian belakang lori terbabit yang dari lorong kanan masuk ke lorong pusingan U,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kereta terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan lori.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang awam yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

+ - reset