TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu Lori didenda RM8,000 cuba rasuah polis kes miliki air ketum

By
|
Kongsi
image

SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori didenda sebanyak RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah cuba merasuah anggota polis bagi mengelakkan tindakan undang-undang kerana memiliki air ketum, empat tahun lalu.

Tertuduh, Tang Chin Haur, 45, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Tang didakwa menawarkan suapan sebanyak RM3,900 kepada Koperal Mohd Aliyudin Abdul Aziz sebagai dorongan agar tidak dikenakan tindakan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki cecair disyaki air ketum.

Kesalahan tersebut dilakukan di khemah sekatan jalan raya Jalan Sungai Bakau, Nibong Tebal pada 27 Jun 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noor Azura Zulkifli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Tang memohon hukuman diringankan atas alasan menanggung ibu bapa, isteri dan seorang anak yang masih bersekolah.

Difahamkan, tertuduh telah membayar denda berkenaan sejurus prosiding selesai dijalankan pagi tadi.

+ - reset