TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Usaha pemandulan tak berjaya, semua ADUN N Sembilan setuju tindakan lupus anjing liar

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 30 April – Isu anjing liar yang sering mengganggu penduduk akhirnya mendapat penyelesaian apabila semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan, termasuk pembangkang, bersetuju sebulat suara untuk melaksanakan kaedah pelupusan haiwan tersebut di kawasan penempatan majoriti Melayu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan penduduk berikutan peningkatan jumlah anjing liar yang mengganggu aktiviti harian termasuk ke masjid dan ke sekolah.

Katanya, walaupun usaha pemandulan diteruskan, ia tidak mencukupi untuk mengawal populasi haiwan tersebut.

“Kita hanya tumpukan kepada kawasan majoriti Muslim supaya tidak mengganggu urusan harian mereka yang hendak ke masjid dan ke sekolah,” katanya.

Ketua Pembangkang, Mohamad Hanifah Abu Baker (PN-Labu) menyatakan sokongan terhadap langkah berkenaan, manakala beberapa ADUN lain mencadangkan supaya tindakan turut diperluaskan ke kawasan bukan Melayu.

Chew She Yong (PH-Lobak) mencadangkan tempoh sebulan diberikan bagi memberi peluang kepada pencinta haiwan mengadopsi anjing sebelum tindakan pelupusan dijalankan.

Aminuddin menjelaskan bahawa pelupusan hanya melibatkan anjing liar yang mengancam keselamatan penduduk dan bukan semua haiwan.

Pelaksanaan kaedah ini diserahkan kepada EXCO berkaitan untuk tindakan lanjut.

+ - reset