Berita Berita
Pelajar Nigeria tak mangaku salah gigit telinga anggota polis hingga putus

KUALA LUMPUR 30 April – Seorang penuntut kolej swasta warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis dengan menggigit telinga mangsa hingga putus sebahagian.
Tertuduh, Okenyehike Kelvin Obianke, 38, membuat pengakuan itu dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret S. Mageswary selepas pertuduhan dibacakan.
“Saya tidak sengaja, saya mengaku tidak bersalah,” katanya ketika ditanya oleh mahkamah.
Menurut pertuduhan, Okenyehike didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Koperal Danierul Azraq Ahmad Khair, 36, dengan menggigit telinga kiri mangsa di hadapan sebuah klinik berhampiran Metro Prima, Sentul, kira-kira jam 10.10 pagi pada 25 April lalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad, tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh merupakan warga asing dan turut berdepan pertuduhan berasingan kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kekal ditahan reman tanpa jaminan dan mahkamah menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen serta lantikan peguam.
Dua Lagi Pertuduhan Berasingan
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Okenyehike turut didakwa atas dua pertuduhan lain – masuk ke negara ini tanpa dokumen sah dan memasukkan dadah ke dalam badan.
Bagi pertuduhan imigresen, dia didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan dadah, dia dituduh memasukkan dadah jenis Nimetazepam (Benzo) ke dalam badan di tandas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 26 April jam 3 pagi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika disabitkan.
Kedua-dua kes itu akan disebut semula pada 23 Julai depan. - Media Telus
Berita berkaitan
May 3, 2025, 1:47 pm
Remaja parah jatuh longkang dikejar anjing liar di Bandar Tasik Puteri
May 3, 2025, 1:01 pm
M Nasir jumpa Anwar bincang soal industri kreatif
May 3, 2025, 11:55 am
Rangka manusia ditemui belakang rumah milik lelaki hilang sejak Julai tahun lalu
May 3, 2025, 11:21 am
Anggap pemilihan parti tak adil, Rafizi luah hasrat nak letak jawatan
May 3, 2025, 10:56 am
Guru tikam anak 11 tahun guna pisau pemotong sayur direman 7 hari
May 3, 2025, 10:04 am
Budak 10 tahuh maut, 10 cedera dalam nahas babit 3 kenderaan di Kota Tinggi
May 2, 2025, 7:11 pm
Seorang maut, 2 parah babit 3 RXZ bertembung di LPT2
May 2, 2025, 3:36 pm
Kertas siasatan Ahli Parlimen Raub sudah dihantar ke Bukit Aman
May 2, 2025, 3:15 pm
FOMCA: Vape ancam kesihatan, keselamatan negara, bukan sekadar perniagaan
May 2, 2025, 3:07 pm