TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

TMJ bangga Hariss Harun jadi Naib Presiden FAS, impi bekas pemain terajui FAM

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 30 April – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, meluahkan rasa bangga atas pelantikan bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun, sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Pelantikan Hariss bagi penggal 2025–2029 diumumkan baru-baru ini dalam barisan kepimpinan baharu FAS, yang kini diketuai Presiden Forrest Li, pemilik kelab Lion City Sailors (LCS).

Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT menyifatkan Hariss sebagai individu yang profesional dan layak menggalas tanggungjawab tersebut.

“Keputusan terbaik dan memang layak. (Hariss) Sangat profesional dan insan yang hebat.
Harap suatu hari nanti bekas pemain kebangsaan akan mengetuai kepimpinan FAM pada masa akan datang. Insya-Allah,” titah baginda menerusi hantaran di platform X.

Rekod Baharu Buat Hariss

Pelantikan ini menjadikan Hariss, 35, sebagai pemain aktif pertama yang memegang jawatan tinggi dalam badan induk bola sepak Singapura, meskipun masih memiliki kontrak sebagai pemain dengan LCS.

Hariss pernah menjadi tonggak utama JDT dan memainkan peranan penting dalam era dominasi kelab itu di pentas bola sepak tempatan dan serantau.

Malaysia Turut Libatkan Bekas Pemain Dalam Kepimpinan FAM

Di Malaysia, perubahan kepimpinan dalam FAM turut menyaksikan penglibatan legenda bola sepak tanah air. Kongres pemilihan FAM awal tahun ini menyaksikan dua bekas bintang negara, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Datuk Dollah Salleh, dilantik sebagai Exco bagi penggal 2025–2029.

Zainal kini menyandang jawatan Exco merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, manakala Dollah dilantik sebagai Naib Presiden, bertanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM.

Pelantikan-pelantikan ini menunjukkan kesedaran baharu untuk membawa suara bekas pemain ke dalam pentadbiran bola sepak negara, selari dengan impian Tunku Mahkota Ismail agar FAM suatu hari nanti diterajui oleh figura yang benar-benar memahami selok-belok bola sepak dari padang ke pentas kepimpinan. - Media Telus

+ - reset