TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Fitnah Ketua Polis Negara, Papagomo akhirnya mohon maaf, diarah bayar RM5,000

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 April - Mahkamah Tinggi hari ini menerima permohonan maaf tanpa syarat daripada blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, berhubung kenyataan berunsur fitnah dan penggunaan gambar yang diubah suai membabitkan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain.

Papagomo membacakan permohonan maaf itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong, berkaitan kenyataan yang dibuat pada 14 Januari lalu serta gambar suntingan KPN yang disiarkan sehari selepasnya.

Kenyataan dan gambar berkenaan tetap disiarkan Papagomo meskipun Mahkamah Tinggi sudah mengeluarkan perintah injunksi pada 31 Disember tahun lalu yang melarang sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap KPN.

Selepas pernyataan itu dibacakan, Razarudin dan mahkamah menerima permohonan maaf berkenaan dengan syarat ia perlu disiarkan di platform media sosial termasuk YouTube, TikTok, X dan Telegram bermula hari ini dan kekal disiarkan sekurang-kurangnya selama tujuh hari.

Papagomo juga diarahkan memadam kenyataan serta gambar terbabit dan membayar kos RM5,000.

Pernyataan maaf itu berbunyi:

“Saya, Wan Muhammad Azri bin Wan Deris, dengan suci hati tanpa apa apa syarat memohon maaf kepada mahkamah yang mulia ini, kepada KPN, Tan Sri Razarudin Husain di atas penggunaan perkataan berunsur fitnah dan khianat terhadap plaintif pada terbitan bertarikh 14 Januari 2025 dan penggunaan gambar KPN yang disunting pada 15 Januari 2025.

“Saya mengaku janji tidak akan mengulangi sebarang kenyataan fitnah dan kesat terhadap KPN dan akan memadamkan kenyataan bertarikh 14 dan 15 Januari ini.”

Mahkamah pada hari ini sepatutnya mendengar prosiding komital terhadap Papagomo yang diperoleh Razarudin, namun peguam bela Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan hasrat anak guamnya untuk meminta maaf.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Raam Kumar yang mewakili pihak plaintif.

Sebelum ini, Razarudin memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi pada 10 Februari lalu untuk memulakan prosiding komital terhadap Papagomo kerana gagal mematuhi perintah injunksi mahkamah.

Prosiding komital adalah tindakan undang-undang terhadap individu yang menghina mahkamah dengan melanggar perintah yang telah dikeluarkan.

Papagomo didakwa menghina mahkamah apabila tetap menerbitkan kenyataan berbaur fitnah di pelbagai platform media sosial seperti YouTube, TikTok, X dan Telegram, walaupun selepas mahkamah mengeluarkan perintah injunksi.

Pada 26 Disember 2024, Razarudin memfailkan saman fitnah dan menuntut ganti rugi RM3 juta daripada Papagomo berhubung kenyataan yang melabelkannya sebagai "pelacur banduan terhormat" dan "penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim."

Perbicaraan kes saman berkenaan ditetapkan berlangsung pada 28 Disember 2026 hingga 11 Januari 2027.

+ - reset