TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki sesak nafas temui ajal ketika daki Bukit Larut

By
|
Kongsi
image

TAIPING 30 April – Seorang lelaki berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia ketika menyertai aktiviti mendaki di Bukit Larut pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 10.40 pagi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dan Taiping segera dikerahkan ke lokasi.

Beliau berkata, pasukan penyelamat menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik Bukit Larut Resort dan kemudian berjalan kaki kira-kira tiga kilometer dari kaki bukit untuk sampai ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi, mangsa didapati sudah diberi rawatan oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut sama menyertai aktiviti tersebut.

"Namun mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Usaha membawa mayat mangsa dijalankan dengan bantuan petugas KKM sebelum diserahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan.

Menurut Sabarodzi, mangsa dikenali sebagai Ahmad Saharim Saudi dan sebelum kejadian dikatakan mengalami sesak nafas.

+ - reset