Berita Berita
Bayi 13 bulan tidak sedarkan diri terjerut kain buaian di rumah pengasuh

KUANTAN 1 Mei – Seorang ibu meluahkan harapan agar keadilan dapat ditegakkan untuk anak lelakinya yang berusia 13 bulan selepas mengalami kecederaan serius dipercayai akibat terjerut kain buaian di rumah pengasuh di Lorong Mat Kilau, di sini, pada 15 April lalu.
Wanita berusia 37 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Ding berkata, dia dimaklumkan pengasuh bahawa anaknya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selepas kejadian tragis itu.
Menurutnya, berita mengejutkan itu diterima pada hari kejadian apabila dia diberitahu bahawa anaknya tidak sedarkan diri dan berwajah kebiruan akibat jerutan pada leher.
Anaknya kemudiannya dirawat di unit kecemasan sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan berada dalam pemantauan rapi selama lapan hari.
Puan Ding berkongsi pengalaman menyayat hati itu dalam satu sidang media di Pejabat Senator Dr Fuziah Salleh di sini pada petang Selasa, yang turut dihadiri Pegawai Khas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), iaitu Koh Yee Yen.
“Saya terkejut apabila diberitahu anak saya tidak sedarkan diri dan wajahnya kebiruan dipercayai akibat lehernya terjerut kain buaian.
“Dia dimasukkan ke unit kecemasan sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan dirawat selama lapan hari,” katanya.
Dakwanya, pengasuh memaklumkan anaknya diletakkan dalam buaian di tingkat atas kerana sukar tidur di katil, sementara pengasuh menguruskan hal lain di tingkat bawah.
“Pengasuh maklumkan anak saya ditinggalkan bersendirian di atas. Kemudian suami pengasuh naik dan mendapati anak saya dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai jurujual memberitahu, pihak hospital mengesahkan anaknya mengalami hipoksia otak dan kini masih memerlukan rawatan serta pemantauan berterusan.
“Dia masih belum pulih sepenuhnya. Kini ditempatkan di wad bersebelahan ICU dan menerima ubat-ubatan termasuk antibiotik.
“Doktor maklumkan anak saya perlukan tempoh pemulihan yang panjang termasuk terapi fizikal dan rawatan susulan berkala,” katanya.
Dia berkata, suaminya ada membuat laporan polis pada hari kejadian, namun menarik balik atas sebab tertentu, menyebabkan siasatan terhenti seketika.
Bagaimanapun, katanya, satu laporan baharu telah dibuat pada 25 April bagi membolehkan siasatan dijalankan semula bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kemungkinan berlakunya kecuaian daripada pengasuh.
“Saya harap ada keadilan buat anak saya. Saya juga kecewa kerana selepas laporan pertama ditarik balik, pihak pengasuh tidak lagi menunjukkan keprihatinan,” katanya.
Sementara itu, Yee Yen berkata, tindakan Puan Ding tampil bersuara bukan bertujuan menuding jari, sebaliknya demi menuntut keadilan.
“Dia hanya mahu pihak berwajib menyiasat. Jika terbukti ada unsur kecuaian, biarlah tindakan setimpal diambil agar tragedi sebegini tidak berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berkaitan kejadian tersebut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dijaga pengasuh terbabit sejak usia tiga bulan dan hanya diambil pulang oleh ibu bapanya setiap Sabtu.
“Pada awalnya, bapa mangsa tidak mahu tindakan lanjut diambil kerana menganggap kejadian itu sebagai kemalangan.
Namun, isterinya tampil membuat laporan polis pada 25 April untuk menuntut siasatan lebih lanjut serta pampasan dan kos rawatan bagi anak mereka,” jelasnya.
Wan Mohd Zahari turut memaklumkan pihak polis telah merakam keterangan ibu mangsa dan melawat mangsa di HTAA.
“Rakaman percakapan daripada doktor yang merawat mangsa juga telah dilakukan oleh pegawai penyiasat kes ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," ujarnya.
Berita berkaitan
May 3, 2025, 1:47 pm
Remaja parah jatuh longkang dikejar anjing liar di Bandar Tasik Puteri
May 3, 2025, 1:01 pm
M Nasir jumpa Anwar bincang soal industri kreatif
May 3, 2025, 11:55 am
Rangka manusia ditemui belakang rumah milik lelaki hilang sejak Julai tahun lalu
May 3, 2025, 11:21 am
Anggap pemilihan parti tak adil, Rafizi luah hasrat nak letak jawatan
May 3, 2025, 10:56 am
Guru tikam anak 11 tahun guna pisau pemotong sayur direman 7 hari
May 3, 2025, 10:04 am
Budak 10 tahuh maut, 10 cedera dalam nahas babit 3 kenderaan di Kota Tinggi
May 2, 2025, 7:11 pm
Seorang maut, 2 parah babit 3 RXZ bertembung di LPT2
May 2, 2025, 3:36 pm
Kertas siasatan Ahli Parlimen Raub sudah dihantar ke Bukit Aman
May 2, 2025, 3:15 pm
FOMCA: Vape ancam kesihatan, keselamatan negara, bukan sekadar perniagaan
May 2, 2025, 3:07 pm