TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan komited bela kebajikan pekerja, RUU pekerja gig bakal dibentang di Parlimen - Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Mei – Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang sebagai langkah menyeluruh kerajaan menangani isu kebajikan dan perlindungan sosial golongan pekerja ekonomi gig yang semakin mendesak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi mengatasi kekurangan yang masih wujud dalam aspek kebajikan pekerja gig, selaras dengan komitmen kerajaan memperjuangkan hak semua lapisan pekerja.

"Insya-Allah kekurangan seperti yang dihadapi pekerja gig akan kita selesaikan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang akan kita bentangkan dalam sidang Parlimen akan datang," katanya menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Terdahulu dalam ucapan aluannya pada majlis itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, draf RUU yang sudah siap sedia untuk dibentang, dibuat selepas sesi libat urus dilaksana dengan lebih 3,000 pekerja.

"Jangan halang kerajaan bela nasib pekerja gig, berilah sokongan kerajaan bentangkan RUU Pekerja Gig pada sidang (Parlimen) akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Steven Sim berkata, buat kali pertama dalam sejarah upah penengah bulanan rakyat sudah melepasi nilai ambang RM3,000, meningkat daripada RM2,700 kepada RM3,045 sebulan.

Sim berkata, RUU pekerja gig diusahakan kerana kerajaan mendengar keluhan kelompok pekerja itu yang sudah bertahun-tahun diberi janji manis.

"Kerajaan mendengar keluhan anda yang sudah bertahun-tahun diberi janji manis. Kerajaan bersilih ganti, hasrat pekerja gig untuk mendapat perlindungan perburuhan masih belum dicapai.

"Namun, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar, kerajaan akhirnya sudah menyiapkan draf RUU Pekerja Gig yang bersejarah.

"KESUMA telah membuat kajian, konsultasi, sesi libat urus, menerima input dalam talian, mengadakan town hall mega dan sudah 3,000 pemegang taruh dirujuk," katanya.

KESUMA tidak akan berkompromi dalam usaha mendukung hak pekerja.

"Kami akan 'go all out' untuk melindungi pekerja kita. Apa pun yang terjadi, kami akan melindungi pekerja kami walau pun apapun berlaku. (Come what may, we will protect our workers at all cost).

"KESUMA berpegang kepada prinsip ekuiti yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Perusahaan Malaysia waima di kala pandemik melanda, kegawatan ekonomi dan iklim perniagaan tidak harus dijadikan alasan untuk menindas pekerja," katanya.

Pada Mac lalu juga, Steven Sim mendedahkan liputan perlindungan sosial dalam kalangan pekerja gig disifatkan masih rendah apabila sekadar mencatatkan 26 peratus berbanding 1.16 juta individu yang bekerja dalam sektor berkenaan di seluruh negara.

Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) dalam kenyataan sebelum ini juga memohon kerajaan supaya melaksanakan penyelesaian jangka panjang dalam usaha memastikan isu kebajikan, tugasan dan kesihatan mental pemandu e-hailing serta p-hailing ini diatasi segera.

GEM juga mendedahkan, ketika ini punca pendapatan tidak tetap yang bergantung kepada jumlah perjalanan dan penghantaran menjadikan pemandu e-hailing serta p-hailing terpaksa bekerja berjam-jam lamanya.

+ - reset