TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Langgar lampu merah, dua maut motosikal rempuh kereta

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 2 Mei - Dua lelaki maut selepas motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Banting - Jugra, Kuala Langat, dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada kegagalan mematuhi lampu isyarat merah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kedua-dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Banting.

Menurut siasatan awal, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari apabila sebuah kereta Toyota Corolla Altis yang dipandu lelaki berusia 50-an berhenti di persimpangan jalan kerana lampu isyarat berwarna merah. Pemandu berkenaan kemudiannya membelok ke kanan sebaik sahaja lampu bertukar hijau.

Namun begitu, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dinaiki dua lelaki dari arah bertentangan dilaporkan meneruskan perjalanan dan melanggar bahagian sisi kiri kereta tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua mangsa segera dibawa ke Hospital Banting, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.15 petang semasa menerima rawatan.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati penunggang motosikal gagal mematuhi isyarat lampu merah, yang menjadi punca utama kemalangan. - Media Telus

+ - reset