TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar MRSM Pekan hilang, dipercayai enggan kembali ke asrama

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 5 Mei - Seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pekan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga, dipercayai kerana enggan kembali ke asrama.

Mangsa, Anas Baihaqi Miqdad Johari, 13, disedari hilang oleh ibunya sekitar jam 4 petang tadi apabila mendapati anaknya tidak berada di bilik tidur.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu berkata, remaja itu masih berada di rumah sekitar jam 3.30 petang sebelum ibunya menyedari kehilangannya.

“Pengadu cuba mencari anaknya di sekitar kawasan perumahan namun gagal mengesannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati Anas Baihaqi keluar rumah dengan memakai kemeja-T merah, seluar trek hitam dan kasut sukan jenama Puma. Dia juga dipercayai membawa telefon bimbit milik adiknya, beg galas sekolah, kasut sukan tambahan serta wang tunai kira-kira RM200.

Menurut polis, remaja itu sebelum ini pernah menyuarakan keengganan untuk kembali ke asrama kerana sukar berjauhan daripada keluarga.

Wan Zahari turut memaklumkan bahawa ini adalah kali pertama remaja terbabit dilaporkan hilang.

Polis kini giat menjalankan siasatan dan usaha mengesannya sedang dipergiatkan. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak mangsa diminta segera menghubungi balai polis berhampiran. - Media Telus

+ - reset