TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Ketegangan memuncak, tentera Pakistan diberi kuasa penuh balas serangan udara India

By
|
Kongsi
image

MUZAFFARABAD 8 Mei - Ketegangan antara dua kuasa nuklear Asia Selatan kembali memuncak apabila kerajaan Pakistan memberi "kuasa penuh" kepada tenteranya untuk melancarkan serangan balas terhadap India susulan serangan udara yang mengorbankan puluhan nyawa awal pagi semalam.

Perkembangan dramatik ini mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan konflik berskala besar antara kedua-dua negara, yang sudah lama berseteru berhubung wilayah bergolak Kashmir.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 43 kematian direkodkan. Islamabad memaklumkan 31 orang awam terbunuh akibat serangan udara dan tembakan rentas sempadan India, manakala New Delhi pula melaporkan 12 kematian dalam serangan balas Pakistan.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam perutusan khas negara memberi amaran keras:
"Kami akan membalas setiap titisan darah yang tumpah. Pengorbanan syuhada kami tidak akan disia-siakan."

Tentera India mendakwa telah memusnahkan sembilan kem militan di Pakistan dalam serangan itu, yang menurut New Delhi dilancarkan susulan dakwaan penglibatan Islamabad dalam serangan terhadap pelancong Hindu di Kashmir pada April lalu. Pakistan bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry berkata lima jet pejuang India berjaya ditembak jatuh di sepanjang sempadan, manakala sumber pertahanan India pula melaporkan tiga jet terhempas di wilayah mereka sendiri.

Kedua-dua pihak turut dilaporkan berbalas tembakan artileri berat di sepanjang Garisan Kawalan (LoC), yang memisahkan kawasan Kashmir yang ditadbir oleh kedua-dua negara.

Tentera India menegaskan operasi mereka adalah “bersasar dan terkawal” serta tidak bertujuan mencetuskan konflik besar. Bagaimanapun, Chaudhry menegaskan bahawa Pakistan berhak mempertahankan kedaulatan negaranya “pada masa, tempat dan cara yang ditentukan sendiri.”

Situasi semakin genting apabila penduduk di kawasan sempadan mula dipindahkan ke lokasi lebih selamat, terutamanya di sekitar Jammu, Kashmir. Penduduk kampung dilihat meninggalkan rumah bersama barang keperluan dalam suasana cemas.

India pula bertegas tindakan mereka adalah tindak balas terhadap serangan kejam di Pahalgam yang mengorbankan 26 pelancong Hindu, yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Lashkar-e-Taiba yang berpangkalan di Pakistan dan disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun pemerhati menjangkakan peningkatan ketegangan ini bakal mengundang perhatian global dalam waktu terdekat.
— AFP

+ - reset