Berita Sukan
Selangor FC harap keadilan buat Faisal Halim
KUALA LUMPUR 9 Mei - Selangor FC berharap agar keadilan dapat ditegakkan buat pemain sensasi mereka, Faisal Halim, susulan keputusan pihak berkuasa mengklasifikasikan kes serangan asid terhadapnya sebagai no further action (NFA) atau tiada tindakan lanjut.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, walaupun keputusan tersebut mengecewakan sesetengah pihak, kelab tetap menghormati proses siasatan dan mempercayai sepenuhnya kemampuan pihak berkuasa dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Menurut beliau, keutamaan kelab kini adalah untuk terus memberi sokongan moral dan profesional kepada Faisal dalam usaha memulihkan prestasi serta kesihatan pemain sayap berusia 27 tahun itu.
“Kami tidak mempunyai sebarang komen lanjut mengenai isu ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Tambah beliau, pihak kelab akan terus berdiri teguh di belakang Faisal, selain mendoakan agar pemain itu kembali ke prestasi terbaik demi masa depan Selangor FC dan juga skuad Harimau Malaya.
Faisal, yang lebih dikenali sebagai "Mickey", menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei 2024 dalam satu serangan mengejut di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya. Serangan yang dilakukan oleh individu tidak dikenali itu mengakibatkan beliau melecur tahap empat, terutamanya di bahagian leher, bahu, tangan dan dada.
Namun, dengan semangat juang tinggi serta sokongan pelbagai pihak, Faisal kembali menjalani latihan dan membuat penampilan semula bersama Selangor FC pada Ogos tahun lalu. Pemulihannya turut menyaksikan beliau dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan Malaysia di bawah kendalian Peter Cklamovski, dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada Mac lalu.
Sementara siasatan rasmi diklasifikasikan sebagai NFA, harapan rakyat dan peminat bola sepak tanah air tetap tinggi agar kebenaran dapat dirungkai, dan keadilan diberikan kepada Faisal. - Media Telus
Berita berkaitan
April 23, 2026, 5:19 pm
Harga tiket Final Piala Malaysia kekal, serendah RM50
April 14, 2026, 2:23 pm
Kerajaan peruntuk RM3 juta perkukuh pembangunan sukan sepak takraw negara
March 31, 2026, 11:56 am
Gaji tidak dibayar, legenda import bola sepak Kedah terpaksa mengemis di sosial media
March 25, 2026, 7:21 pm
JDT diundi laluan sukar, berpotensi bertemu juara bertahan
March 25, 2026, 9:36 am
AFC denda JDT RM24,172
March 19, 2026, 11:19 am
JDT buru musim tanpa kalah selepas belasah PDRM FC 7-0
March 18, 2026, 9:45 am
JDT di landasan pecah rekod dunia kejuaraan liga
March 13, 2026, 10:21 am
JDT raih kira-kira RM8.5 juta selepas mara suku akhir ACLE
March 9, 2026, 10:25 am
