TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dakwa siasatan bermotifkan politik, Russia tak mengaku tembak jatuh MH17

By
|
Kongsi
image

 

 

MOSCOW 14 Mei – Russia menolak keputusan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang memutuskan bahawa Moscow bertanggungjawab atas insiden penembakan jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines di Ukraine.

Menurut laporan portal berita RT, Moscow menyifatkan siasatan yang diketuai Belanda sebagai bermotifkan politik dan bergantung kepada bukti daripada Ukraine yang dianggap boleh dipersoalkan kesahihannya.

“Pendirian utama Moscow adalah bahawa Russia tidak terlibat dalam tragedi MH17, dan semua kenyataan yang dikeluarkan oleh Australia dan Belanda adalah tidak benar,” tegas Kementerian Luar Russia dalam kenyataan di laman web rasminya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan keputusan undian ICAO yang menyimpulkan bahawa Russia gagal menunaikan tanggungjawabnya untuk mengelakkan penggunaan senjata terhadap pesawat awam.

Pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di ruang udara timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal. Kebanyakan mangsa adalah warga Belanda, Malaysia dan Australia.

Insiden berlaku ketika tentera Ukraine melancarkan operasi untuk menguasai semula wilayah Donetsk dan Lugansk yang mengisytiharkan pemerintahan sendiri selepas rampasan kuasa yang disokong Barat di Kyiv.

Wilayah itu kemudian mengundi untuk menyertai Russia pada September 2022.

Siasatan antarabangsa yang dijalankan pada 2015 oleh Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine mendapati bahawa MH17 ditembak menggunakan sistem peluru berpandu darat ke udara Buk buatan era Kesatuan Soviet, yang didakwa dihantar oleh Russia kepada kumpulan pemisah di Donbass.

Namun, Moscow menafikan membekalkan senjata berat kepada kumpulan bersenjata tempatan, dan menyatakan bahawa pesawat itu mungkin terkena peluru berpandu daripada jenis yang digunakan oleh tentera Ukraine. - AGENSI

+ - reset