Berita Berita
Polis panggil lebih 60 individu bantu siasatan tragedi trak FRU

TELUK INTAN 14 Mei – Polis akan memanggil lebih 60 individu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kemalangan maut yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Bakri Zainal Abidin berkata, mereka yang akan dipanggil termasuk anggota FRU yang berada di lokasi kejadian serta pemilik syarikat lori membawa muatan batu yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Ini bagi mengelakkan siasatan bersifat berat sebelah dan sebagainya. Kita akan melihat (siasatan) daripada semua sudut iaitu kecuaian manusia, isu teknikal melibatkan kenderaan dan isu persekitaran,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Menurut Bakri, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian turut diminta tampil membantu siasatan.
Mengulas keadaan mangsa, beliau memaklumkan bahawa seorang anggota FRU kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh akibat pendarahan dalaman dan kecederaan di kepala serta abdomen.
Lapan lagi anggota yang turut cedera masih menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi semalam, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5, Sungai Senam, Ipoh, bertembung dengan sebuah lori muatan batu semasa dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami.
Insiden itu mengakibatkan sembilan anggota maut, dua parah manakala tujuh lagi cedera.
Sementara itu, Majistret Naidatul Athirah Azman mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap pemandu lori berusia 45 tahun yang terlibat dalam kemalangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Berita berkaitan
May 14, 2025, 6:33 pm
Hujan lebat diramal landa 7 negeri malam ini - MetMalaysia
May 14, 2025, 4:36 pm
Lelaki hanyut dua hari bersama rakit di Sungai Kelantan ditemui dalam keadaan lemah
May 14, 2025, 4:23 pm
Hospital Putrajaya, HKL tersenarai dalam 50 hospital terbaik dunia
May 14, 2025, 4:16 pm
Kementerian Pengangkutan diberi tempoh sebulan lengkapkan laporan nahas FRU
May 14, 2025, 4:10 pm
Remaja memandu melulu sebabkan 5 maut dibebaskan dengan jaminan RM5,000
May 14, 2025, 3:49 pm
Polis akan ambil keterangan anak Datin Seri Pamela di Singapura
May 14, 2025, 3:44 pm
Nurul Izzah nafi berselisih faham dengan Hassan Karim
May 14, 2025, 3:39 pm
Perlis haramkan penjualan vape bermula 1 Ogos
May 14, 2025, 3:38 pm