TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sultan Selangor zahir rasa kesal insiden FRU maut, titah hukuman lebih tegas ke atas pemandu, syarikat cuai

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Mei - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap kejadian kemalangan maut yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan baru-baru ini.

Baginda turut mengulangi kebimbangan yang pernah disuarakan sebelum ini berkaitan insiden kemalangan jalan raya, khususnya melibatkan kenderaan berat, yang dilihat semakin kerap berlaku.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office, baginda bertitah agar kerajaan mengambil tindakan serius dan segera dalam menangani isu keselamatan jalan raya, termasuk memperketat penguatkuasaan terhadap pemandu dan syarikat pengendali kenderaan berat.

“Sekiranya didapati bersalah dan menjadi punca kepada kemalangan maut atau kecederaan parah, pemandu serta syarikat terlibat bukan sahaja perlu dikenakan denda atau hukuman penjara, malah lesen memandu mereka wajar ditarik balik sebagai pengajaran kepada pihak lain,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menyeru agar penilaian lebih ketat dilaksanakan oleh syarikat-syarikat lori, bas dan kenderaan berat dalam pemilihan pemandu serta kelindan, termasuk memastikan latar belakang mereka bersih dan bebas daripada sebarang masalah.

Baginda juga menegaskan bahawa aspek keselamatan seperti kondisi kenderaan dan kelayakan pemandu tidak seharusnya dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Hajah Norashikin, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga serta waris sembilan anggota FRU yang terkorban dalam nahas tersebut.

Baginda berdoa agar insiden seumpama itu tidak lagi berulang, apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa mereka yang sedang berkhidmat demi menjaga keamanan negara.

Dalam kejadian pada jam 8.50 pagi kelmarin, sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera apabila trak yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori bermuatan pasir ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugasan sempena sambutan perayaan Chitrapournami di Teluk Intan, Perak. - Media Telus

+ - reset