TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Zarina Anjoulie nafi tuduhan curi kereta, dakwa kenderaan diberi sebagai cagaran

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Mei - Pelakon sensasi Zarina Anjoulie Lavocah tampil menafikan dakwaan mencuri sebuah kereta mewah jenis Mercedes-Benz dan telah membuat laporan polis bagi menangkis tuduhan berkenaan.

Menurut Zarina, 37, tuduhan yang tular di media sosial khususnya di TikTok adalah tidak berasas dan bersifat fitnah, malah individu yang membuat dakwaan itu gagal menjelaskan keadaan sebenar kepada umum.

“Saya memilih untuk berdiam diri pada mulanya, tapi bila video fitnah itu viral, ramai yang tanya. Saya perlu tampil beri penjelasan.

“Kereta tersebut bukan dicuri, ia diberi kepada saya sebagai cagaran kerana pihak terbabit masih belum melunaskan ganti rugi. Semua bukti berkaitan berada dalam simpanan saya,” katanya dalam satu hantaran video di media sosial.

Zarina memaklumkan dua laporan polis telah dibuat berhubung pemilikan kenderaan berkenaan serta tindakan pencerobohan dan fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya dan keluarga.

“Semalam polis telah membuat serbuan ke rumah individu tersebut untuk tangkapan, namun dia dibebaskan dengan jaminan. Kini saya perlu serahkan dokumen penting termasuk geran tanah dan rumah bagi menyokong kes ini,” katanya lagi.

Tambah Zarina, individu tersebut juga telah bertindak biadab dengan membuat rakaman video secara langsung di kediaman ibunya, sekali gus menceroboh privasi keluarganya.

“Dia buat live video depan rumah ibu saya, sedangkan ibu saya pernah menyambut dan melayan dia dan keluarganya dengan baik.

“Tuduhan tidak berasas serta perlakuan tidak hormat terhadap ibu saya adalah melampau dan saya tidak akan berdiam diri,” tegasnya.

Pelakon itu juga memaklumkan bahawa kes berkenaan telah diserahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut, termasuk memfailkan saman malu terhadap individu terbabit.

“Peguam saya kini sedang menguruskan proses tindakan undang-undang termasuk saman malu. Individu ini bukan sahaja memfitnah saya, tetapi turut menyeret nama rakan baik saya dengan tuduhan palsu kononnya menculik anaknya demi tontonan media sosial,” katanya.

Sebelum ini, sebuah video tular menunjukkan seorang wanita memberi amaran kepada seorang selebriti agar memulangkan semula kereta miliknya atau berdepan tindakan undang-undang. - Media Telus

+ - reset