Berita Dunia
Menteri Pertanian Jepun letak jawatan selepas keluar kenyataan tidak sensitif isu beras
TOKYO, 21 Mei – Menteri Pertanian Jepun, Taku Eto, meletakkan jawatan hari ini susulan kecaman hebat terhadap kenyataannya bahawa beliau tidak pernah membeli beras kerana sering menerimanya sebagai hadiah daripada penyokong.
Peletakan jawatan itu dibuat ketika rakyat Jepun sedang berdepan tekanan akibat kenaikan harga beras ke paras tertinggi dalam sejarah, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai.
“Saya membuat kenyataan yang amat tidak wajar ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan harga beras,” katanya kepada media selepas menyerahkan surat peletakan jawatan di Pejabat Perdana Menteri awal pagi tadi.
Menurut laporan NHK dan media tempatan lain, Perdana Menteri Shigeru Ishiba dijangka melantik bekas Menteri Alam Sekitar, Shinjiro Koizumi, sebagai pengganti.
Eto sebelum ini dikritik hebat oleh wakil pembangkang serta ahli gabungan pemerintah selepas ucapannya dalam majlis kutipan dana politik pada Ahad lalu tular, apabila beliau menyatakan tidak pernah membeli beras kerana memperolehnya secara percuma daripada penyokong.
Peletakan jawatan Eto merupakan yang pertama dalam Kabinet Ishiba sejak ia dibentuk pada Oktober lalu, dan perkembangan ini dilihat menjejaskan kedudukan Perdana Menteri menjelang pilihan raya penting pada Julai nanti.
Harga beras di Jepun dilaporkan meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu, dan menjadi isu utama dalam kalangan pengundi.
Walaupun kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah sejak Mac lalu untuk mengurangkan harga, setakat ini tiada kesan ketara dilaporkan.
Berita berkaitan
December 17, 2025, 1:11 pm
Trump larang warga Palestin masuk AS
December 15, 2025, 8:32 pm
Ibu bapa doa keselamatan lelaki disanjung wira insiden tembakan Pantai Bondi
December 15, 2025, 9:16 am
Serangan tembakan Pantai Bondi: Polis sahkan bapa, anak dalang,16 terkorban
December 9, 2025, 12:53 pm
Kemboja balas serangan, pertempuran dengan Thailand semakin tegang
December 1, 2025, 10:02 pm
Afrika lancar suntikan cegah HIV pertama
November 28, 2025, 8:16 pm
Penduduk Hatyai ambil barang tanpa bayar selepas banjir cetus perdebatan
November 28, 2025, 1:38 pm
Terpaksa tambah peti mayat, 105 mayat ditemui dalam tempoh lima hari banjir landa Hatyai
November 28, 2025, 9:39 am
Korban kebakaran terburuk di Hong Kong cecah 94 orang
November 27, 2025, 10:09 am
