Berita Sukan
MFL nafi tunduk kepada JDT dalam isu kuota 15 pemain import
KUALA LUMPUR 28 Mei - Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan keputusan membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) mendaftarkan sehingga 15 pemain import bagi musim 2025 bukanlah hasil permintaan daripada Johor Darul Ta'zim (JDT), sebaliknya merupakan keputusan kolektif Ahli Lembaga Pengarah MFL.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL kali ke-13, selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk surat rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang menetapkan hanya juara dan naib juara Liga Super layak beraksi dalam Kejohanan Kelab Asean musim hadapan.
“Pertambahan kuota pemain import ini dilihat mampu membantu kelab-kelab yang akan bersaing dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACLE), Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Kejohanan Kelab Asia Tenggara, memandangkan cabaran dari kelab besar di rantau ini semakin sengit.
“Penyertaan kelab Liga M dalam kejohanan anjuran AFC juga penting bagi memperbaiki kedudukan ranking kelab Asia, sekali gus memastikan Malaysia terus memperoleh atau menambah slot ke pentas tertinggi bola sepak Asia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk musim 2025, JDT akan beraksi dalam ACLE manakala Selangor FC akan berentap dalam ACL2. Kedua-dua pasukan itu juga layak ke Kejohanan Kelab Asean selepas AFF mengumumkan perubahan format kejohanan.
Hisamudin turut menekankan bahawa keputusan memberi kelonggaran mendaftar 15 pemain import kepada semua pasukan adalah demi keadilan serta memberi peluang sama rata kepada kelab-kelab lain.
“Terpulang kepada kemampuan dan strategi pasukan sama ada mahu menggunakan kuota itu atau tidak. Apa yang penting, ia bukan keputusan yang dibuat untuk memenuhi kehendak satu pihak semata-mata,” katanya.
Sebelum ini, keputusan MFL untuk membenarkan pendaftaran maksimum 15 pemain import — dengan hanya tujuh pemain (4 terbuka, 1 Asia, 2 ASEAN) dibenarkan beraksi dalam satu-satu perlawanan — mencetus kritikan di media sosial yang menuduh MFL tunduk kepada kehendak JDT.
Namun, menurut Hisamudin, keputusan itu adalah hasil pertimbangan menyeluruh terhadap keperluan liga tempatan dan aspirasi kelab untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, musim lalu hanya pasukan yang layak ke ACLE dan ACL2 dibenarkan mendaftarkan sehingga 12 pemain import, manakala pasukan lain terhad kepada sembilan pemain import dengan komposisi 6+1 (termasuk satu pemain simpanan) di atas padang. – Media Telus
Berita berkaitan
October 29, 2025, 11:26 am
Wan Rohaimi puas hati prestasi Penang FC walau tewas kepada JDT
October 27, 2025, 10:01 am
Mentaliti juara kunci JDT benam DPMM FC 10-0 – Xisco Munoz
October 26, 2025, 11:55 am
TMJ tegaskan kritikan terhadap dirinya dalam bola sepak bukan perkara baharu
October 21, 2025, 10:50 am
JDT sasar kemenangan pertama bertemu Chengdu Rongcheng dalam aksi ACLE
October 10, 2025, 7:32 am
Harimau Malaya benam Laos 3-0, kekal rekod sempurna
October 7, 2025, 11:43 am
FAM perlu jelaskan isu pendedahan FIFA segera – Hannah Yeoh
October 7, 2025, 8:59 am
FAM anggap laporan FIFA tidak tepat, akan kemuka rayuan rasmi
October 7, 2025, 8:50 am
FIFA kemuka bukti dokumen palsu dalam pendaftaran tujuh pemain warisan Malaysia
October 1, 2025, 3:04 pm
Ultras Malaya tuntut FAM dedah maklumat pemain warisan digantung Fifa
October 1, 2025, 1:33 pm
