TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

GV Ride rai pemandu cemerlang, komited majukan komuniti E-hailing

By
|
Kongsi
image

 

KAJANG, 29 Mei – GV Ride terus mengangkat martabat pemandu E-hailing apabila menganjurkan Majlis Penyerahan Hadiah Utama dan Bulanan bagi program “Kayuh & Menang” 2025, sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan prestasi cemerlang rakan pemandu sepanjang kempen berlangsung sejak Februari lalu.

Majlis penuh meriah itu bukan sahaja menyaksikan penyampaian hadiah lumayan, tetapi juga menjadi simbol ikatan erat antara syarikat dan komuniti pemandunya, yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaan GV Ride.

Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand, dalam ucapannya menyampaikan penghargaan kepada semua pihak terlibat, termasuk Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, barisan pengurusan syarikat, penaja, dan terutamanya pemandu GV Ride.

“Tanpa anda semua, tiadalah GV Ride pada hari ini,” ujar Kabeer, sambil menegaskan bahawa penglibatan aktif dan komitmen para pemandu adalah kunci kepada pertumbuhan kukuh syarikat.

Program “Kayuh & Menang” 2025 menawarkan pelbagai hadiah menarik, termasuk sebuah Perodua Bezza 1.3X sebagai hadiah utama, wang tunai RM10,000 dan RM5,000 bagi tempat kedua dan ketiga, serta pelbagai peranti teknologi terkini seperti Samsung S25 Ultra, iPhone 16 Pro Max, dan Vivo Y39 5G.

Sementara hadiah bulanan pula berupa baucar minyak bernilai RM500 dan RM50, sebagai dorongan tambahan kepada pemandu aktif.

Kabeer berkata kempen ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga merupakan platform pembinaan komuniti dan penjanaan nilai jangka panjang untuk pemandu GV Ride.

“GV Ride bukan sekadar platform e-hailing. Ia adalah satu komuniti. Kita bukan hanya menghubungkan penumpang dan pemandu, tetapi kita juga membina peluang untuk menjana pendapatan, membina kerjaya, dan kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen GV Ride untuk terus mendengar suara pemandu dan menyediakan pelbagai sokongan, termasuk inisiatif peningkatan kemahiran serta sistem sokongan kebajikan yang lebih menyeluruh.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Mohd Sany Hamzan, yang menyatakan sokongan penuh terhadap syarikat tempatan seperti GV Ride, yang menyumbang secara langsung kepada ekonomi gig dan penciptaan pekerjaan fleksibel.

Pemenang kelihatan teruja menerima hadiah masing-masing, namun Kabeer turut memberi peringatan bahawa semua pemandu, menang atau tidak, adalah sebahagian penting daripada perjalanan dan kejayaan GV Ride.

“Teruskan semangat ini. Teruskan memberikan yang terbaik kepada pelanggan dan teruskan menjadi contoh kepada komuniti e-hailing yang lebih profesional, cekap dan bertanggungjawab,” katanya.

+ - reset