Berita Berita
Kelantan catat kadar diabetes dan kolesterol lebih tinggi daripada paras nasional

KOTA BHARU 30 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan bahawa kadar peratusan penduduk di Kelantan yang menghidap penyakit diabetes dan kolesterol adalah lebih tinggi berbanding paras nasional.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati 16.3 peratus rakyat Kelantan menghidap diabetes atau kencing manis berbanding 15.6 peratus di peringkat nasional.
Beliau turut mendedahkan bahawa 34.9 peratus penduduk Kelantan menghidap kolesterol tinggi berbanding 33.3 peratus paras nasional.
"Bagaimanapun, kadar prevalens penyakit darah tinggi dan berat badan berlebihan di Kelantan masing-masing mencatatkan 27.9 peratus dan 51.6 peratus, iaitu lebih rendah berbanding paras nasional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Terbuka Wellness Hub Kelantan, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
Menurut Dr Dzulkefly, dapatan NHMS 2023 sangat membimbangkan walaupun Kelantan mencatatkan prestasi lebih baik dalam beberapa indikator lain.
"Mendepani cabaran ini, KKM memperkenalkan dan melaksanakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sebagai platform menggerakkan pembudayaan gaya hidup sihat secara menyeluruh.
"Inisiatif ini selari dengan agenda reformasi sistem kesihatan negara, iaitu beralih daripada perkhidmatan berfokuskan rawatan kepada sistem yang menekankan pencegahan dan kesejahteraan," katanya.
Beliau menambah, Wellness Hub Kelantan yang mula beroperasi pada 2021 kini berkembang pesat dengan kemudahan bangunan dua tingkat siap dibina pada 2024 serta peningkatan kapasiti daripada 15 kepada 80 peserta setiap sesi.
"Sejak 2021 hingga 2024, Wellness Hub Kelantan menerima kehadiran lebih 92,000 klien, secara fizikal dan maya, membuktikan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.
"Pelbagai perkhidmatan disediakan secara percuma, termasuk saringan kesihatan dan kaunseling gaya hidup sihat," katanya.
Beliau menegaskan, transformasi kesihatan memerlukan kerjasama menyeluruh, bukan hanya KKM tetapi melibatkan semua pihak serta rakyat sendiri. – Media Telus
Berita berkaitan
June 5, 2025, 1:01 pm
Makin 'maju, warga asing kini jadi ejen 'homestay'
June 5, 2025, 12:36 pm
Malaysia kecewa UNSC gagal lagi lulus resolusi desak gencatan senjata segera di Gaza
June 5, 2025, 12:24 pm
Lapan penuntut UMT didakwa pukul rakan hingga parah dalam asrama, mengaku tidak bersalah
June 5, 2025, 12:15 pm
Sultan Brunei puji mutu perkhidmatan IJN setaraf antarabangsa
June 5, 2025, 11:51 am
Remaja OKU hilang dalam hutan ketika cari lembu peliharaan, operasi SAR diteruskan
June 5, 2025, 11:51 am