Berita Berita
Sultan Pahang hargai peranan wartawan beretika, integriti tinggi

KUANTAN 30 Mei – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar para wartawan yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kewartawanan beretika, berintegriti serta berani menyuarakan kebenaran.
Penghargaan yang sama turut dizahirkan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang, hari ini.
Baginda berdua turut berkenan mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) kepada seluruh warga media di Malaysia, khususnya wartawan di negeri Pahang.
“Dalam era ledakan maklumat yang serba pantas ini, peranan wartawan sebagai penyampai maklumat yang sahih, telus dan seimbang amat penting dalam membentuk masyarakat yang celik dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Baginda berdua percaya bahawa wartawan bukan sahaja berperanan sebagai mata dan telinga rakyat, malah menjadi penghubung antara pemerintah dengan rakyat dalam menyampaikan suara serta keperluan masyarakat.
“Di Pahang, peranan media dalam menyebarkan maklumat berkaitan pembangunan, pendidikan, kebajikan serta penulisan yang membina amatlah dihargai.
“Baginda berdua mendoakan agar semua wartawan terus diberikan kekuatan, kesihatan dan iltizam untuk meneruskan perjuangan suci ini demi kebaikan negeri dan negara,” kata kenyataan tersebut.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bagi memperingati penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, dan bertujuan menghargai peranan serta sumbangan para pengamal media tanah air.
Majlis Prapelancaran HAWANA 2025 dijadualkan berlangsung pada 3 Jun ini, manakala Majlis Kemuncak Sambutan akan diadakan pada 14 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Acara tahunan yang memasuki edisi kelima ini bakal menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara. – Media Telus
Berita berkaitan
June 5, 2025, 1:01 pm
Makin 'maju, warga asing kini jadi ejen 'homestay'
June 5, 2025, 12:36 pm
Malaysia kecewa UNSC gagal lagi lulus resolusi desak gencatan senjata segera di Gaza
June 5, 2025, 12:24 pm
Lapan penuntut UMT didakwa pukul rakan hingga parah dalam asrama, mengaku tidak bersalah
June 5, 2025, 12:15 pm
Sultan Brunei puji mutu perkhidmatan IJN setaraf antarabangsa
June 5, 2025, 11:51 am
Remaja OKU hilang dalam hutan ketika cari lembu peliharaan, operasi SAR diteruskan
June 5, 2025, 11:51 am