TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Akaun WhatsApp Saifuddin digodam: Polis siasat penggunaan VPN luar negara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Mei – Akaun WhatsApp milik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang digodam baru-baru ini dipercayai telah diakses menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) dari luar negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati penggodam telah menyamar sebagai menteri berkenaan dengan menghantar pautan mencurigakan kepada beberapa kenalan beliau melalui aplikasi WhatsApp.

“Penggodam dipercayai telah mengakses akaun WhatsApp berkenaan sebelum menyebarkan pautan URL kepada kenalan mangsa. Tiada kerugian dilaporkan setakat ini berikutan tindakan pantas pegawai-pegawai menteri yang segera melaporkan insiden itu,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.

Beliau turut menjelaskan bahawa kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, dan usaha sedang dilakukan untuk mengesan lokasi serta keberadaan suspek terlibat.

Sementara itu, Pejabat Menteri Dalam Negeri sebelum ini mengeluarkan kenyataan rasmi yang memaklumkan tentang insiden tersebut serta pengesahan laporan polis telah dibuat. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mengakses sebarang pautan mencurigakan yang dihantar daripada nombor menteri tersebut sehingga siasatan selesai. – Media Telus

+ - reset