TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar tingkatan lima maut rempuh lori dalam perjalanan pulang

By
|
Kongsi
image

KUALA SELANGOR 30 Mei - Seorang pelajar Tingkatan Lima maut dalam satu kemalangan tragis selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori di Jalan Parit Mahang, Jeram, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.15 petang itu, mangsa yang berusia 17 tahun dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, hasil siasatan awal mendapati lori terbabit yang tidak membawa muatan sedang keluar dari jalan besar menuju ke Jalan Parit Mahang, manakala mangsa datang dari arah bertentangan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ijok.

Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan lori sebelum melanggar bahagian hadapan kenderaan berat itu. Perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan.

Menurut Azaharudin, mangsa sebelum itu telah menghadiri kelas tambahan di sekolah dan dalam perjalanan pulang ke rumah untuk menghantar barang. Difahamkan, remaja tersebut kemudian dalam perjalanan ke Kampung Parit Mahang untuk menghantar rakannya sebelum kemalangan berlaku.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk tujuan bedah siasat. Sementara itu, pemandu lori berusia 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai atau berbahaya. Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Media Telus

+ - reset