TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki Pakistan maut digilis, diseret treler 100 meter

By
|
Kongsi
image

KLUANG 30 Mei – Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah treler sebelum digilis dan diseret sejauh kira-kira 100 meter dalam kejadian di Kilometer 55, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.05 tengah malam dan mengorbankan mangsa, Sajjad Ali, 30, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kedua-dua kenderaan dari arah Simpang Renggam menuju ke Johor Bahru.

“Siasatan mendapati treler jenis Renault yang dipandu lelaki berusia 27 tahun dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal mangsa di lorong kiri jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh, digilis dan diseret sejauh kira-kira 100 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Tambahnya, pemandu treler yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu terbabit negatif dadah. Permohonan reman akan dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. – Media Telus

+ - reset