TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Menteri Kewangan II diberi tanggungjawab susulan isu tanah Malaysia di Woodlands

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 5 Jun – Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberi tanggungjawab untuk mengambil tindakan lanjut susulan pengumuman pihak berkuasa tanah Singapura berhubung pengambilan dua bidang tanah milik Kerajaan Malaysia di Woodlands.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berikutan laporan media semalam mengenai tindakan kerajaan republik itu.

“Jemaah Menteri ada membincangkan hal ini dan Menteri Kewangan II sudah ditugaskan untuk melakukan beberapa tindakan susulan,” katanya dalam sidang media mingguan di sini.

Semalam, Penguasa Tanah Singapura (SLA) mewartakan rancangan pengambilalihan dua bidang tanah berkeluasan kira-kira 0.79 hektar bersebelahan Pusat Pemeriksaan Woodlands (WCP) bagi tujuan pembangunan semula dan peluasan kemudahan itu.

Dalam kenyataan bersama, SLA dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan kedua-dua lot terbabit merupakan kawasan bersemak yang tidak digunakan dan akan diambil alih oleh Kerajaan Singapura. Pihak SLA dan ICA turut menjelaskan bahawa mereka akan bekerjasama rapat dengan Malaysia sepanjang proses pengambilalihan berlangsung.

Dasar mobiliti dron turut dibincang

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata isu berkaitan mobiliti dron turut dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Katanya, Kementerian Pengangkutan sedang merangka dasar serta garis panduan yang lebih jelas mengenai penggunaan dron termasuk dalam ruang udara altitud rendah.

“Sudah pasti masa perlu diberikan kepada MOT untuk meneliti dasar yang telah dipinda serta memberikan kemas kini, khususnya berkaitan penggunaan dron dalam had tertentu dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 6 turut menyentuh keperluan kerajaan meneliti dasar penggunaan ruang udara rendah dan potensi teknologi mobiliti dron untuk masa depan. – Media Telus

+ - reset