TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat lelaki campak trofi dan baju logo Jubli Perak Raja Perlis ke longkang

By
|
Kongsi
image

PADANG BESAR 5 Jun – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap tindakan seorang lelaki yang mencampakkan trofi dan sehelai baju berlogo rasmi sambutan Jubli Perak Raja Perlis ke dalam longkang, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Sarih Salleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang Ahli Majlis Perbandaran Kangar pada jam 2.17 petang hari ini.

“Lelaki itu didapati memuat naik rakaman perbuatannya pada jam 8 malam, 3 Jun lalu melalui media sosial miliknya.

“Video tersebut memaparkan suspek mencampakkan tiga buah trofi dan sehelai baju ke dalam longkang dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan penganjur acara,” katanya kepada media.

Tambah Sarih, barangan berkenaan dipercayai merupakan hadiah kepada pemenang pertandingan kereta berhias sempena acara Perlis Perodua Day yang berlangsung di Stadium Kangar dari 29 Mei hingga 1 Jun lalu.

“Pihak kami memandang serius perbuatan ini kerana trofi dan baju tersebut mengandungi logo rasmi sambutan Jubli Perak Raja Perlis. Ia dianggap sebagai perbuatan biadab dan tidak sopan terhadap institusi diraja negeri ini,” jelasnya.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek telah memadam video tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka sebelum laporan polis dibuat.

“Suspek mendakwa dia bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan pertukaran rekaan baju yang diwajibkan oleh penganjur selain mendakwa semua trofi adalah seragam untuk setiap pemenang,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar. – Media Telus

+ - reset