TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mulai 2026, semua kontrak penggajian wajib disetem – LHDN

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 6 Jun — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengumumkan bahawa semua kontrak penggajian antara majikan dan pekerja diwajibkan untuk disetemkan bermula 1 Januari 2026.

Dalam satu kenyataan hari ini, LHDN menjelaskan bahawa langkah tersebut sejajar dengan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) yang akan dilaksanakan secara berfasa sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2025.

“Selaras dengan keputusan itu, LHDN telah memulakan aktiviti audit duti setem secara menyeluruh di seluruh negara bermula Januari lepas selepas mengeluarkan Rangka Kerja Audit Duti Setem (RKADS).

"Melalui aktiviti audit duti setem serta operasi pematuhan yang dilaksanakan, antara penemuan utama oleh pihak LHDN adalah dokumen kontrak penggajian antara majikan dan pekerja yang tidak disetemkan mengikut item 4, Jadual Pertama, Akta Setem 1949, iaitu duti setem yang ditetapkan adalah RM10," menurut kenyataan itu.

Bagi mengurangkan bebanan kepada majikan, Kementerian Kewangan telah membuat keputusan untuk mengecualikan kontrak penggajian yang dimuktamadkan sebelum 1 Januari 2025 daripada duti setem. Pengecualian ini diberikan di bawah kuasa Menteri Kewangan mengikut subseksyen 80(1A) Akta Setem 1949, sementara penalti lewat penyeteman turut dikecualikan mengikut subseksyen 47A(2) akta yang sama.

Bagi kontrak penggajian yang dimuktamadkan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025, dokumen tersebut masih tertakluk kepada duti setem, namun akan diberikan peremitan penalti lewat penyeteman, dengan syarat ia disetemkan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2025.

Manakala untuk kontrak yang dimuktamadkan bermula 1 Januari 2026, ia akan dikenakan duti setem sepenuhnya dan kelewatan dalam penyeteman pula akan dikenakan penalti mengikut ketetapan.

LHDN turut menyeru semua majikan agar segera menyemak dan mengemas kini semua kontrak penggajian yang telah atau akan ditandatangani bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan di bawah Akta Setem 1949.

+ - reset