TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Juruukur maut terjatuh dalam lubang dari tingkat 8 tapak pembinaan di Bukit Mertajam

By
|
Kongsi
image

 

BUKIT MERTAJAM 6 Jun - Seorang juruukur lelaki maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah lubang sedalam kira-kira 27 meter dari tingkat lapan di sebuah tapak pembinaan di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 10.30 pagi sebelum sepasukan pegawai penyiasat dihantar ke lokasi.

Menurutnya, mangsa berusia 41 tahun yang bertugas sebagai juruukur menegak (verticality surveyor) dan merupakan pekerja syarikat subkontraktor, disahkan maut selepas dipercayai terjatuh semasa menjalankan kerja pengukuran di kawasan lobi lif bangunan tersebut.

“Mangsa seorang lelaki tempatan, juruukur (verticality surveyor) berusia 41 tahun yang bekerja dengan syarikat subkontraktor di tapak pembinaan itu telah disahkan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan, melalui lubang yang terdapat di kawasan pressurisation shaft dan ia berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja mengukur di kawasan lif lobi bangunan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kawasan lubang terbabit hanya ditutup dengan papan lapis dan berpagar, namun dipercayai tidak mencukupi untuk menampung beban atau memberi perlindungan kepada pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kejadian tersebut, JKKP Pulau Pinang telah menjalankan siasatan serta-merta dan mengeluarkan tiga Notis Larangan kepada kontraktor utama bagi menghentikan semua kerja berkaitan sehingga prosedur keselamatan dipatuhi sepenuhnya.

Selain itu, Hairozie memaklumkan bahawa kontraktor utama telah diarahkan menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan langkah-langkah penambahbaikan yang perlu diambil. Satu pembentangan kes juga perlu dibuat kepada pihak JKKP negeri.

Katanya lagi, pihaknya sedang mengumpul dokumen berkaitan dan akan merakam percakapan semua saksi yang telah dikenal pasti.

“Lawatan susulan ke premis majikan akan dijalankan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil, kami juga akan mengambil tindakan perundangan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 sekiranya berlaku pelanggaran di bawah akta berkenaan,” katanya.

+ - reset