TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kabel rosak punca budak terkena renjatan elektrik di Dataran Drawbridge

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU 6 Jun - Insiden renjatan elektrik yang menimpa seorang kanak-kanak di lokasi jualan trak makanan berhampiran dataran Drawbridge disahkan berpunca daripada kabel elektrik yang rosak dan bersentuhan dengan tiang lampu jalan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Jusman Ibrahim memaklumkan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menerima laporan insiden itu melalui sistem e-aduan MBKT pada jam 11.18 malam, Rabu lalu.

“Bahagian Elektrikal MBKT telah melakukan siasatan dan tindakan lanjut ke atas aduan itu keesokan paginya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati kabel yang mengalami kerosakan atau ‘luka’ telah menyentuh tiang lampu bernombor FP2 B1-21 dan menyebabkan berlakunya kejadian renjatan.

“Pasukan teknikal MBKT telah menjalankan kerja-kerja pembaikan segera, termasuk penebatan semula kabel menggunakan kaedah heat shrink insulation untuk mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya lagi.

Menurut Jusman, pemeriksaan secara menyeluruh di kawasan sekitar turut dilakukan secara berperingkat bagi mengenal pasti kabel lain yang berisiko agar langkah pembaikan dapat diambil segera.

Beliau turut menegaskan bahawa MBKT memandang serius kejadian tersebut dan menyifatkan vandalisme terhadap kemudahan awam sebagai satu jenayah yang boleh membahayakan nyawa.

“Kami amat bersimpati dengan mangsa dan mendoakan agar kanak-kanak terbabit segera pulih.

“Kita juga tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan awam dan akan terus berusaha memastikan kawasan rekreasi dan kemudahan awam berada dalam keadaan selamat,” ujarnya.

MBKT turut menyeru orang ramai agar lebih berwaspada serta melaporkan segera sebarang kerosakan atau aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi demi keselamatan bersama.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial oleh seorang individu yang berkongsi kisah ahli keluarganya terkena renjatan elektrik di lokasi tersebut, sebelum menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan pengguna, terutamanya dalam kalangan pengunjung tetap kawasan berkenaan ketika musim cuti sekolah dan waktu puncak.

+ - reset