TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lebih 5,000 kakitangan Petronas terjejas adalah berstatus kontrak – Anwar

By
|
Kongsi
image

 

SEPANG 6 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa sebahagian besar daripada kira-kira 5,000 kakitangan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) yang akan dikurangkan secara berperingkat pada tahun depan terdiri daripada pekerja berstatus kontrak.

"Kebanyakannya kontrak," kata beliau ringkas ketika ditanya media berhubung langkah pengurangan tenaga kerja yang diumumkan syarikat minyak dan gas nasional itu.

Anwar ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan, Jalan Pinggiran Putra, di sini. Sebelum itu, beliau turut beramah mesra serta makan tengah hari bersama orang awam di sebuah restoran berdekatan.

Semalam, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memaklumkan bahawa keputusan mengecilkan tenaga kerja diambil selepas syarikat berdepan cabaran operasi, khususnya akibat kejatuhan harga minyak mentah global.

Menurut beliau, pengurangan itu akan melibatkan kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan PETRONAS, iaitu sekitar 5,000 orang, dan akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun hadapan.

Tambah Tengku Muhammad Taufik, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha PETRONAS untuk menjadi sebuah organisasi yang lebih kecil, tangkas dan bersedia menghadapi ketidaktentuan pasaran, meskipun harga minyak pernah mencecah paras AS$100 setong.

Katanya lagi, ketika lapangan minyak mula mengecil sebelum ini, margin keuntungan sebelum cukai syarikat berada pada tahap antara 35 hingga 40 peratus.

Untuk makluman, anggaran perbelanjaan PETRONAS kini berasaskan harga minyak Brent sekitar AS$75 hingga AS$80 setong. Namun, harga semasa telah merosot kepada hampir AS$65 setong – turun sekitar 13 peratus sepanjang tahun ini – dipengaruhi oleh ketegangan perdagangan global serta dasar OPEC+ dalam menguruskan pengeluaran.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, PETRONAS melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM55.1 bilion, iaitu penurunan 31.7 peratus berbanding RM80.7 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Penurunan ini dipengaruhi oleh harga purata direalisasi yang lebih rendah serta pelarasan cukai pada tahun 2023.

+ - reset