TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tragedi bas UPSI: PM, Wan Azizah zahir dukacita, arah bantuan segera

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan rasa dukacita susulan nahas tragis yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam satu kemalangan di Jalan Raya Timur Barat, Gerik, pagi tadi.

Dalam satu hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata:

"Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang membabitkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar.

"Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini."

Menurut laporan, kemalangan berlaku selepas kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Banjaran Titiwangsa, Lebuh Raya Timur Barat, dan jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.05 pagi tadi.

Seramai 45 mangsa terbabit dalam nahas itu, termasuk 43 pelajar UPSI Tanjung Malim, seorang pemandu, seorang pembantu serta empat mangsa dalam kenderaan Perodua Alza.

Anwar turut mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya menyelaras bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa.

"Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua supaya sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi.

"Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti," katanya lagi.

Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihak universiti telah menerima laporan awal mengenai kejadian itu dan menyeru warga UPSI serta masyarakat umum agar mendoakan agar segala urusan dipermudahkan.

"Pihak universiti kini sedang mengambil tindakan susulan berkaitan perkara itu.

"Pihak UPSI sentiasa prihatin kebajikan pelajar dan akan memberi bantuan serta sokongan kepada waris," menurut kenyataan itu.

 

+ - reset