Berita Berita
'Sebagai seorang bapa, saya amat terkesan' - Ahmad Zahid mahu laporan penuh nahas bas UPSI

KUALA LUMPUR 9 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa dukacita dan meminta laporan penuh daripada semua agensi berkaitan susulan kemalangan maut yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, awal pagi tadi.
Menurut beliau, laporan terperinci mengenai insiden itu diperlukan bagi tindakan susulan yang sewajarnya.
“Saya turut berduka dan bersedih. Kehilangan 15 nyawa muda dalam satu perjalanan ilmu merupakan satu dugaan yang amat besar.
"Sebagai seorang bapa, saya amat terkesan dengan kejadian ini. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang.
"Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi saat yang sukar ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bahawa 15 individu maut dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
Difahamkan, bas berkenaan dalam perjalanan ke kampus UPSI di Tanjung Malim, dari Jerteh, Terengganu, selepas cuti sambutan Hari Raya Aidiladha.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyeru agar semua pihak bersabar dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi melancarkan proses siasatan.
“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Saya juga mendoakan agar semua mangsa yang sedang menerima rawatan segera pulih dan diberi kesembuhan sepenuhnya,” katanya.
Berita berkaitan
June 9, 2025, 4:07 pm
Jaga-jaga, kes Covid-19 meningkat 20 peratus dalam tempoh seminggu
June 9, 2025, 3:35 pm
Yayasan Pendidikan MARA beri bantuan segera kepada semua mangsa kemalangan bas UPSI
June 9, 2025, 2:31 pm
Tragedi bas UPSI: Kerajaan kaji semula SOP sewa bas oleh pelajar - Zambry
June 9, 2025, 12:39 pm
Bapa enggan ikat jamin anak bawah umur mengaku rogol rakan lebih 16 kali
June 9, 2025, 12:12 pm
Bas terbabit kemalangan disewa pelajar sendiri - Naib Canselor UPSI
June 9, 2025, 11:42 am