Berita Dunia
AS kuatkuasa larangan kemasukan rakyat dari 12 negara
WASHINGTON, 9 Jun – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menguatkuasakan perintah larangan kemasukan rakyat dari 12 negara ke AS bermula awal pagi tadi, dengan alasan bagi melindungi negara itu daripada ancaman pengganas asing.
Trump menjelaskan bahawa negara yang dikenakan sekatan tersebut dikenal pasti mempunyai pengaruh pengganas yang besar, tidak bekerjasama dalam aspek keselamatan visa, gagal mengesahkan identiti pelawat, mempunyai rekod jenayah yang tidak lengkap serta mencatat kadar pelanggaran visa yang tinggi di AS.
Sebagai contoh, beliau merujuk insiden pada Ahad lalu di Boulder, Colorado, apabila seorang warga Mesir melempar bom petrol ke arah penunjuk perasaan pro-Israel, sebagai bukti perlunya tindakan tegas diambil.
Antara negara yang terjejas sepenuhnya oleh larangan perjalanan itu ialah Afghanistan, Chad, Republik Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.
Manakala beberapa negara lain dikenakan sekatan separa, termasuk Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela.
Langkah ini dilihat sebagai lanjutan kepada dasar imigresen ketat yang pernah diperkenalkan oleh Trump semasa penggal pertamanya sebagai Presiden, termasuk larangan terhadap pelawat dari tujuh negara majoriti Islam yang ketika itu menimbulkan kontroversi besar.
Tindakan Trump kali ini turut mencetuskan kekecewaan dalam kalangan pegawai tertinggi dan rakyat dari negara-negara terlibat. Presiden Chad, Mahamat Idriss Deby Itno, dalam kenyataan balas, mengarahkan pemberhentian pemberian visa kepada warga AS sebagai reaksi terhadap dasar baharu itu.
"Chad tidak mempunyai pesawat untuk ditawarkan dan tidak mempunyai berbilior dolar wang untuk diberikan, tetapi Chad mempunyai maruah serta harga diri," katanya melalui Facebook.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan Qatar yang menghadiahkan pesawat mewah kepada Trump serta berjanji membuat pelaburan besar di AS.
Sementara itu, rakyat Afghanistan yang sebelum ini bekerja dalam projek berkaitan kerajaan AS turut melahirkan kebimbangan, berikutan larangan itu boleh memaksa mereka pulang ke negara asal dan mendedahkan mereka kepada ancaman daripada Taliban.
Di AS sendiri, beberapa ahli Parlimen Demokrat menyifatkan larangan perjalanan ini sebagai keterlaluan serta tidak selaras dengan Perlembagaan negara itu. – REUTERS
Berita berkaitan
December 17, 2025, 1:11 pm
Trump larang warga Palestin masuk AS
December 15, 2025, 8:32 pm
Ibu bapa doa keselamatan lelaki disanjung wira insiden tembakan Pantai Bondi
December 15, 2025, 9:16 am
Serangan tembakan Pantai Bondi: Polis sahkan bapa, anak dalang,16 terkorban
December 9, 2025, 12:53 pm
Kemboja balas serangan, pertempuran dengan Thailand semakin tegang
December 1, 2025, 10:02 pm
Afrika lancar suntikan cegah HIV pertama
November 28, 2025, 8:16 pm
Penduduk Hatyai ambil barang tanpa bayar selepas banjir cetus perdebatan
November 28, 2025, 1:38 pm
Terpaksa tambah peti mayat, 105 mayat ditemui dalam tempoh lima hari banjir landa Hatyai
November 28, 2025, 9:39 am
Korban kebakaran terburuk di Hong Kong cecah 94 orang
November 27, 2025, 10:09 am
