Berita Dunia
Israel sah serang Tehran, Iran siap sedia barisan tentera
BAITULMAQDIS 13 Jun - Beberapa letupan dilaporkan berlaku di dalam dan sekitar ibu negara Iran, Tehran, awal pagi tadi, di tengah-tengah laporan bahawa Israel sedang melancarkan serangan terhadap sasaran di Iran, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).
Rakaman video dan gambar yang belum disahkan mula tersebar di media sosial, memaparkan kepulan asap tebal di langit Tehran, namun punca sebenar letupan masih belum dapat dipastikan.
Akhbar The Times of Israel memetik kenyataan Menteri Hal Ehwal Ketenteraan Israel, Israel Katz, yang mengesahkan bahawa rejim Tel Aviv kini sedang melancarkan serangan ke atas Iran.
Susulan ketegangan yang semakin memuncak, Iran dilaporkan telah meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan udara kepada 100 peratus dan menggantung semua penerbangan keluar masuk di Lapangan Terbang Imam Khomenei, sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam pada itu, Israel turut mengisytiharkan darurat selepas mengeluarkan amaran kemungkinan serangan balas dari Iran, berikutan apa yang didakwa sebagai "serangan awal" Israel ke atas negara itu.
“Susulan serangan awal Israel terhadap Iran, satu serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel dan penduduk awam dijangka berlaku dalam masa terdekat.
“Sehubungan itu, dan berdasarkan kuasa di bawah Undang-Undang Pertahanan Awam, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, telah menandatangani perintah khas yang menguatkuasakan perintah darurat khas di seluruh kawasan awam di seluruh negara,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Israel.
Kebimbangan semakin memuncak apabila penduduk Israel, terutamanya di Tel Aviv, dilaporkan telah berlindung di dalam tempat perlindungan susulan bunyi siren kecemasan yang dibunyikan.
Dalam reaksi segera, pegawai Amerika Syarikat (AS) menegaskan bahawa Washington tidak terbabit dalam sebarang serangan yang dilancarkan Israel terhadap Iran.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini memberi amaran bahawa Israel mungkin akan menyerang tapak nuklear Iran dalam masa terdekat, namun menggesa sekutunya itu supaya menangguhkan serangan demi memberi peluang kepada usaha diplomasi.
“Saya tidak mahu mereka masuk (lancar serangan) kerana saya fikir ia akan membuatkan keadaan lebih teruk,” kata Trump, yang turut mengakui telah berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, namun enggan mendedahkan butiran lanjut perbualan tersebut.
Trump turut menyatakan bahawa AS tidak akan terlibat dalam sebarang operasi ketenteraan yang dirancang oleh Israel, sambil memberi gambaran mahu menurunkan suhu ketegangan yang kini melanda Asia Barat.
“Kami tetap komited kepada Resolusi Diplomatik membabitkan isu nuklear Iran! Seluruh pentadbiran saya diarahkan untuk berunding dengan Iran,” katanya menerusi hantaran di platform Truth Social.
Sementara itu, wakil khas Trump ke Asia Barat, Steve Witkoff dijangka mengadakan pusingan rundingan keenam dengan Iran di Oman pada Ahad ini, dengan negara itu terus memainkan peranan sebagai pengantara utama dalam usaha mencapai perjanjian baharu berkaitan program nuklear Iran. – AFP
Berita berkaitan
October 29, 2025, 12:45 pm
Israel langgar gencatan senjata, Gaza kembali berdarah
October 28, 2025, 3:24 pm
Katy Perry, Justin Trudeau sahkan hubungan cinta secara terbuka di Paris
October 28, 2025, 10:56 am
Israel dilanda wabak maut terburuk, catat 5,000 kes dengan 8 kematian
October 21, 2025, 4:02 pm
Terima sokongan majoriti, Sanae Takaichi dilantik Perdana Menteri Wanita pertama Jepun
October 16, 2025, 12:09 pm
Trump pertimbang arah Israel serang semula Gaza jika Hamas langgar gencatan senjata
October 11, 2025, 11:47 am
AS kenakan tarif 100 peratus ke atas import China mulai 1 November — Trump
October 11, 2025, 10:19 am
Israel tarik balik tentera, perang di Gaza berakhir — Rakyat Palestin mula pulang ke rumah
October 9, 2025, 10:48 am
Israel, Hamas setuju laksana fasa pertama pelan damai Trump bagi Gaza
October 7, 2025, 9:14 am
Greta Thunberg selamat tiba di Greece selepas dibebaskan dari tahanan Israel
October 6, 2025, 9:43 am
