TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PKR nafi KPN pernah jadi ahli parti

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Jun – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan Ketua Polis Negara ke-15, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail pernah menjadi ahli atau memegang sebarang jawatan dalam parti itu seperti yang tular di media sosial semalam.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, penyebaran maklumat tidak tepat yang mengaitkan Mohd Khalid dengan PKR boleh menjejaskan imej dan kredibiliti beliau serta mencetuskan persepsi negatif terhadap parti pemerintah.

“PKR kesal atas kesilapan maklumat dalam media sosial sebuah akhbar tempatan yang memaparkan Mohd Khalid sebagai bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah.

“Kami menegaskan beliau tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam PKR. Perkara ini perlu diperbetulkan segera kerana ia memberi gambaran seolah-olah pelantikan beliau dilakukan atas dasar politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fuziah, PKR memandang serius kesilapan tersebut dan menggesa agar siasatan dalaman dijalankan oleh pihak akhbar berkenaan.

Sebagai bukti, PKR turut menyertakan senarai penuh individu yang pernah memegang jawatan Pengerusi MPN Kedah sejak 1999 hingga kini, termasuk Tan Sri Johari Abdul, Dr Azman Ismail, Nurul Izzah Anwar dan Nurin Aina Abdullah, tanpa sebarang rekod nama Mohd Khalid.

Mohd Khalid, 60, menggantikan Tan Sri Razarudin Husain sebagai Ketua Polis Negara berkuat kuasa semalam. Beliau sebelum ini berkhidmat dalam Cawangan Khas termasuk sebagai Ketua Cawangan Khas Pahang dan Ketua Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman. – Media Telus

+ - reset