TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guru pusat asuhan ditahan, dua kanak-kanak didakwa dirotan

By
|
Kongsi
image

SUNGAI PETANI 21 Jun – Seorang guru wanita di sebuah pusat asuhan kanak-kanak ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang didakwa dirotan dalam kejadian Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, guru berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi susulan laporan polis yang dibuat oleh waris salah seorang mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek dijangka dibawa untuk permohonan reman esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku di pusat asuhan tersebut dan membabitkan dua kanak-kanak perempuan yang mengalami kesan lebam dan birat pada bahagian kaki dan tangan, dipercayai akibat dirotan.

Katanya, kejadian itu turut menjadi tular di media sosial selepas rakaman menunjukkan guru terbabit merayu kepada waris agar tidak mengambil tindakan, namun tidak diendahkan.

Difahamkan, waris kedua-dua mangsa membawa anak mereka ke sebuah klinik kesihatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan lanjut.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika sesi latihan bola jaring dan kesan kecederaan hanya disedari selepas kanak-kanak mengadu sakit kepada ibu bapa masing-masing. – Media Telus

+ - reset