TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

NTW 2025 catat kejayaan luar biasa, 3.2 juta penyertaan melebihi sasaran

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

IPOH, 21 Jun — Minggu Latihan Kebangsaan (National Training Week – NTW) 2025 melabuhkan tirainya hari ini dengan mencatatkan kejayaan luar jangka apabila lebih 3.2 juta penyertaan direkodkan di seluruh Malaysia dan ASEAN.

Penganjuran selama seminggu itu, yang bermula pada 14 Jun lalu, jauh melepasi sasaran awal 1 juta peserta.

Majlis penutup NTW 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof.

Dalam ucapannya, Saarani menekankan pentingnya pembelajaran dan pembangunan kemahiran secara berterusan dalam era automasi dan kecerdasan buatan (AI).

"Apa yang lebih utama ialah permulaan kepada budaya kerja dan pemikiran baharu iaitu budaya yang meletakkan latihan dan ilmu sebagai nadi kemajuan negara dan negeri,” katanya.

NTW 2025, yang dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melalui KESUMA, pada awalnya menyasarkan 65,000 kursus dan 1,000 aktiviti pembangunan dan pembelajaran (L&D).

Namun, sambutan hebat rakyat menyaksikan lebih 71,000 kursus dan 1,010 aktiviti berjaya dilaksanakan.

Datuk Azman pula memaklumkan bahawa penganjuran tahun ini turut mencatat sejarah apabila menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records, iaitu “Largest Educators Participation in AI Training Program” dan “Largest Students Participation in Industrial Skills Framework (IndSF) Training Modules”.

Sebanyak 124,929 pelajar daripada enam institusi pendidikan, termasuk 1,500 pelajar kelainan upaya (OKU), terlibat dalam modul IndSF ini.Kejayaan ini seiring dengan tema Learning Beyond Borders, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan penyelaras ASEAN Year of Skills (AYOS).

Acara penutup turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, antaranya kursus asas gunting rambut, barista, CPR dan AED, dekorasi kek, serta solekan dan inai.

Turut diadakan ialah demonstrasi VR, dron, e-sukan, seni batik, ceramah agama, forum pembangunan wanita, serta karnival kerjaya MYFutureJobs yang menawarkan lebih 1,866 peluang pekerjaan.

Walaupun NTW 2025 telah berakhir secara rasmi, kursus latihan dalam talian terus dibuka sepanjang tahun ini melalui portal NTW, memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan ASEAN untuk terus meningkatkan kemahiran mengikut kesesuaian masa dan keperluan masing-masing.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di www.nationaltrainingweek.gov.my. - Media Telus

 

+ - reset