Berita Berita
NTW 2025: Malaysia buktikan kuasa ilmu dengan kepimpinan Perdana Menteri, dedikasi utuh ‘wira’ HRD Corp

KUALA LUMPUR 21 Jun – Apa yang dahulu hanya sebuah perbincangan kecil di Pulau Pinang kini telah berkembang menjadi satu gerakan pembelajaran berskala nasional dan serantau.
Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 secara rasmi dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Nasional Bukit Jalil, menandakan tahun ketiga penganjurannya sejak diperkenalkan pada 2023.
Penasihat ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025, Datuk Wira Shahul Hameed, dalam satu kenyataan penuh penghargaan, menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan NTW, termasuk Perdana Menteri, Menteri Sumber Manusia, para rakan strategik, penyedia latihan dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Kita mulakan dengan mimpi yang dipersoalkan ramai. Ada yang ragu, ada yang mengkritik, malah ada yang anggap mustahil. Tetapi hari ini, NTW menjadi bukti bahawa apa yang mustahil itu boleh menjadi kenyataan apabila kita bersatu hati,” kata beliau.
Menurut beliau, NTW bukan sekadar program latihan, tetapi satu gerakan nasional yang memperjuangkan pembelajaran sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat – termasuk komuniti luar bandar, golongan kurang berkemampuan dan individu berkeperluan khas.
Sokongan padu kerajaan dan pengiktirafan serantau
Penganjuran NTW 2025 juga bertepatan dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, di mana NTW telah diiktiraf sebagai platform utama bagi AYOS 2025.
Pada 27 Mei lalu, Menteri Sumber Manusia,Steven Sim Chee Keong mengumumkan peluasan akses portal NTW ke semua negara anggota ASEAN, membolehkan rakyat serantau mengikuti kursus latihan secara percuma.
Langkah ini disambut baik oleh Sekretariat ASEAN dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang memuji NTW sebagai amalan terbaik dalam pembangunan modal insan inklusif.
Peningkatan ketara impak dan penglibatan awam
Daripada hanya 503,572 jam latihan bernilai RM116 juta pada tahun 2023, NTW kini mencatatkan lebih 10.4 juta jam latihan dengan nilai dianggarkan mencecah RM485 juta setakat 14 Jun 2025 – satu lonjakan luar biasa dalam tempoh hanya tiga tahun.
“Tanpa NTW, ini semua adalah jam pembelajaran yang hilang. Ia adalah satu model berskala besar yang kos efektif, dan mampu diperluaskan ke seluruh negara serta rantau,” ujar Shahul.
Salah satu kemuncak NTW 2025 ialah penganjuran NTW Learn-a-Thon Explorace pada 15 Jun yang berjaya menghimpunkan lebih 6,000 peserta dalam satu acara larian 5km dengan aktiviti pembelajaran interaktif di setiap hentian.
Seruan perisytiharan Minggu Latihan Kebangsaan secara rasmi
Mengakhiri kenyataan beliau, Datuk Wira Shahul menyeru agar NTW diwartakan secara rasmi sebagai Minggu Pembelajaran dan Latihan Kebangsaan, dan diraikan setiap tahun pada minggu terakhir bulan Jun.
“Kita perlu jadikan NTW sebagai warisan nasional – satu simbol kepercayaan kita terhadap kuasa ilmu dan pembelajaran untuk memajukan rakyat dan negara.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan HRD Corp yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan NTW, dengan menyifatkan mereka sebagai “wira yang terus menetapkan penanda aras baharu dalam pembangunan modal insan”. - Media Telus
Berita berkaitan
June 22, 2025, 11:57 am
Polis sahkan anggota bertugas cabut suis motosikal pelajar dalam video tular
June 22, 2025, 9:27 am
Bas terbabas di jalan Genting, 25 penumpang berdepan detik cemas
June 22, 2025, 9:20 am
Polis siasat video palsu libatkan bekas ketua polis negara
June 21, 2025, 8:02 pm
NTW 2025 catat kejayaan luar biasa, 3.2 juta penyertaan melebihi sasaran
June 21, 2025, 2:01 pm
Malaysia pantau rapat konflik Iran-Israel, utamakan keselamatan rakyat – Mindef
June 21, 2025, 1:55 pm
KDN FC bakal dibimbing Elavarasan dan jurulatih antarabangsa musim depan
June 21, 2025, 1:49 pm
Ahmad Zahid ucap tahniah kepada Mohd Khalid Ismail atas pelantikan sebagai KPN
June 21, 2025, 1:44 pm
Guru pusat asuhan ditahan, dua kanak-kanak didakwa dirotan
June 21, 2025, 1:35 pm