TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia pantau rapat konflik Iran-Israel, utamakan keselamatan rakyat – Mindef

By
|
Kongsi
image

KOTA TINGGI 21 Jun – Kementerian Pertahanan terus memantau rapi perkembangan konflik antara Iran dan Israel yang dilihat berpotensi besar menjejaskan keselamatan serantau serta kepentingan negara, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut beliau, situasi itu amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan rantaian bekalan global, ekonomi dunia dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara tidak langsung.

“Bila berlaku peperangan dunia, semua negara terjejas kerana harga minyak akan naik, bekalan terputus, perdagangan bebas dunia terganggu dan negara dagang seperti Malaysia juga terkesan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Tuaian Halia Bentong Muda di Kampung Gembut di sini hari ini.

Tambah beliau, konflik ini juga membuka mata banyak pihak tentang kepentingan penggunaan teknologi canggih dalam peperangan moden yang sekaligus memberi manfaat kepada Malaysia untuk memperkukuhkan kesiapsiagaan pertahanannya.

Sementara itu, Kementerian Luar sedang menyelaras proses membawa pulang rakyat Malaysia yang masih berada di Iran susulan penutupan Kedutaan Malaysia di negara itu baru-baru ini.

“Tiada penerbangan ke Iran buat masa ini. Mereka akan keluar melalui jalan darat ke Turkmenistan, sebelum dibawa pulang menggunakan pesawat komersial,” jelas Mohamed Khaled.

Beliau menegaskan jumlah rakyat Malaysia yang masih berada di Iran adalah kecil dan proses pengungsian akan dijalankan secara tersusun, mengambil kira aspek keselamatan dan diplomasi. – Media Telus

+ - reset