Berita Dunia
Iran ancam balas serangan, sasarkan pangkalan tentera AS di Asia Barat
TEHRAN 23 Jun – Iran hari ini mengancam akan menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat sebagai tindak balas terhadap serangan udara besar-besaran Washington yang didakwa memusnahkan sebahagian program nuklear negara itu, meskipun tahap sebenar kerosakan masih belum dapat dipastikan.
Ali Akbar Velayati, penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menegaskan bahawa mana-mana lokasi yang digunakan oleh tentera AS untuk melancarkan serangan ke atas Iran akan dianggap sebagai sasaran yang sah.
“Mana-mana negara di rantau ini atau tempat lain yang digunakan oleh tentera Amerika untuk menyerang Iran akan dianggap sasaran sah untuk angkatan tentera kami,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi IRNA.
Ancaman tersebut hadir selepas Presiden AS, Donald Trump, mendedahkan bahawa serangan udara yang dilancarkan ke atas kemudahan pengayaan uranium di Fordo serta fasiliti nuklear di Isfahan dan Natanz mencapai “kejayaan ketenteraan yang menakjubkan”.
Trump turut menggunakan kenyataan itu untuk menggesa Iran menamatkan konflik dan secara tidak langsung menyuarakan sokongan kepada perubahan kepimpinan negara tersebut.
“Adalah tidak betul dari segi politik untuk menggunakan istilah ‘Perubahan Rejim’,” katanya di platform Truth Social miliknya.
“Tetapi jika rejim Iran sekarang tidak dapat MENJADIKAN IRAN HEBAT SEMULA, mengapa tidak kepada Perubahan Rejim??? MIGA!!!” ujarnya merujuk kepada slogan ‘Make Iran Great Again’.
Sementara itu, Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian dalam kenyataan balasnya menegaskan bahawa AS tidak akan terlepas daripada balasan terhadap serangan tersebut.
“Amerika Syarikat akan menerima balasan atas tindakan biadab ini,” katanya ringkas di Tehran. – Media Telus.
Berita berkaitan
December 17, 2025, 1:11 pm
Trump larang warga Palestin masuk AS
December 15, 2025, 8:32 pm
Ibu bapa doa keselamatan lelaki disanjung wira insiden tembakan Pantai Bondi
December 15, 2025, 9:16 am
Serangan tembakan Pantai Bondi: Polis sahkan bapa, anak dalang,16 terkorban
December 9, 2025, 12:53 pm
Kemboja balas serangan, pertempuran dengan Thailand semakin tegang
December 1, 2025, 10:02 pm
Afrika lancar suntikan cegah HIV pertama
November 28, 2025, 8:16 pm
Penduduk Hatyai ambil barang tanpa bayar selepas banjir cetus perdebatan
November 28, 2025, 1:38 pm
Terpaksa tambah peti mayat, 105 mayat ditemui dalam tempoh lima hari banjir landa Hatyai
November 28, 2025, 9:39 am
Korban kebakaran terburuk di Hong Kong cecah 94 orang
November 27, 2025, 10:09 am
