Berita Ekonomi
Syarikat Malaysia perlu sedia hadapi cabaran, bukan kejar untung semata-mata – Tunku Naquiyuddin
KUALA LUMPUR 25 Jun - Syarikat di Malaysia perlu bukan sahaja merancang untuk pertumbuhan tetapi juga membina daya tahan dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang semakin kompleks, kata Tunku Laksamana dan bekas Pemangku Raja Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.
Menurut beliau, syarikat Malaysia mesti menilai semula tahap pendedahan mereka terhadap risiko geopolitik.
“Ini bukan sekadar soal mempelbagaikan pasaran eksport. Ia memerlukan pemahaman mendalam terhadap kelemahan rantaian bekalan, saluran pembiayaan dan kebergantungan kepada teknologi.
“Perniagaan mesti merancang bukan hanya untuk pertumbuhan, tetapi untuk daya tahan. Syarikat yang masih menganggap geopolitik sebagai isu luar yang tidak berkait dengan strategi komersial sebenarnya mengambil risiko yang tidak perlu,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada Forum Ekonomi Malaysia (MEF) 2025, hari ini.
Forum bertemakan “Mengemudi Masa Depan: Meneroka Daya Tahan Ekonomi dan Kemakmuran Hijau” itu menghimpunkan lebih 100 delegasi berprofil tinggi dari sektor kerajaan, perniagaan dan akademik.
Forum berkenaan dianjurkan bersama Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) dengan perbincangan fokus kepada hala tuju transformasi ekonomi Malaysia dalam suasana global yang tidak menentu.
Tunku Naquiyuddin berkata, syarikat perlu beralih daripada sekadar mematuhi peraturan kepada penjajaran strategik yang sebenar.
“Amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), tadbir urus data, pendedahan karbon dan penggunaan teknologi tempatan kini menjadi jangkaan asas. Ini bukan lagi sekadar tren, tetapi sudah membentuk peraturan perdagangan, pelaburan dan perolehan global.
“Syarikat yang menganggap perkara ini sebagai isu sampingan bakal berdepan risiko terpinggir daripada peluang masa depan, terutama dalam rantaian bekalan bernilai tinggi,” katanya.
Beliau turut menggesa syarikat Malaysia agar memanfaatkan potensi penuh integrasi serantau.
“ASEAN mungkin dilihat bergerak perlahan, tetapi ia masih antara rantau paling terbuka di dunia. Syarikat Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk menerajui perkongsian rentas sempadan, mewujudkan platform serantau dan memanfaatkan insentif pelaburan di pelbagai bidang kuasa.
“Potensi penuh Komuniti Ekonomi ASEAN masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh sektor swasta kita,” tambahnya.
Tunku Naquiyuddin turut menegaskan agar teknologi tidak lagi dianggap sebagai kata kunci abstrak.
“Kita sudah bercakap tentang Industri 4.0 hampir sedekad, namun ramai syarikat masih keliru atau teragak-agak mengenainya. Kecerdasan buatan, pengkomputeran awan, analitik data besar dan platform digital bukan sesuatu yang baharu,” katanya dalam laporan BERNAMA.
Beliau menasihatkan syarikat tempatan agar mengubah cara melihat peranan mereka dalam ekonomi negara.
“Sektor swasta bukan sekadar penumpang dalam proses pembangunan, tetapi pemacu utama. Kita perlukan syarikat yang mengambil tanggungjawab terhadap hasil, membentuk dasar melalui penglibatan aktif dan bertindak dengan keazaman yang sama seperti yang mereka harapkan daripada pihak kerajaan,” katanya.
Berita berkaitan
October 24, 2025, 8:05 pm
CEO Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed umum letak jawatan
October 23, 2025, 11:09 am
Kerajaan dapat jimat RM5 bilion setahun hasil penyasaran semula subsidi diesel – MoF
September 26, 2025, 6:39 pm
Saham Astro jatuh merudum ke paras terendah, keuntungan merosot hampir 70 peratus
September 23, 2025, 10:56 am
Harga RON95 turun, ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS
September 18, 2025, 11:00 am
Proton e.MAS 7 kekal EV paling laris, raih jualan lebih 5,800 unit hingga Ogos
September 10, 2025, 10:40 am
CFO perlu bertindak sebagai pemacu strategi, bukan lagi ‘scorekeeper’ – Abdul Wahid
September 1, 2025, 10:08 pm
Rianlon Corp bakal melabur RM820 juta di Johor, Anwar tinjau perkembangan ECRL
September 1, 2025, 3:23 pm
Moody’s jangka BNM kekal OPR pada 2.75 peratus minggu ini
August 15, 2025, 12:30 pm
