TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kekurangan jururawat di tahap kritikal, KKM pertimbang guna perkhidmatan jururawat luar negara

By
|
Kongsi
image

PASIR GUDANG 29 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang bergelut dengan isu kekurangan jururawat di seluruh negara, yang kini menjadi antara cabaran paling utama dalam sektor kesihatan awam, melebihi isu digitalisasi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi menangani masalah berkenaan, termasuk menambah bilangan pelatih jururawat.

"Isu kekurangan jururawat satu realiti yang KKM secara berterusan sedang tanganinya.
Kita pun mengambil pelbagai pendekatan, antara lain meningkatkan jumlah pelatih ke paras 1,000 orang, namun ia masih tidak dapat menampung kekurangan.

"KKM mengalami kesukaran dapatkan jururawat kerana perjawatan ada, namun tiada yang mahu. Berikan KKM sedikit masa menangani isu kekurangan jururawat ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Statistik yang direkodkan KKM mendapati seramai 6,919 petugas kesihatan meletak jawatan dari 2020 hingga 2023, termasuk 2,141 jururawat, dengan pecahan 1,754 lantikan tetap dan 387 lantikan kontrak.

Jumlah itu turut melibatkan 1,856 pegawai perubatan tetap, 3,846 pegawai perubatan kontrak dan 1,217 pakar perubatan yang meninggalkan perkhidmatan dalam tempoh sama.

Keputusan untuk beralih ke sektor swasta didapati berpunca daripada tawaran faedah dan ganjaran lebih menarikberbanding sektor awam.

Malah, laporan pada tahun lalu mengunjurkan negara bakal berdepan kekurangan jururawat hampir 60 peratus menjelang tahun 2030 jika tiada langkah drastik diambil.

Dr Dzulkefly sebelum ini menyatakan kerjasama antara sektor awam dan swasta amat penting dalam menampung keperluan kejururawatan negara, terutamanya untuk memenuhi permintaan sistem penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.

Menurut beliau, KKM turut mempertimbangkan beberapa langkah interim termasuk pengambilan jururawat dari luar negara sebagai penyelesaian jangka pendek.

"Ia termasuklah bersama dengan sektor swasta dan ada ada tindakan bersifat interim ataupun transit serta transisi dengan pengambilan jururawat daripada luar.

"Namun apa yang paling mustahak adalah dengan kita meningkatkan moral serta semangat kerja golongan jururawat ini.

"Itu yang paling penting di samping isu lain membabitkan gaji dan ganjaran," katanya.

+ - reset