TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Siap sedia, JPJ terus senarai hitam bas, lori gagal bayar saman tertunggak sehingga 8 Julai ini

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran tegas kepada pengendali bas ekspres dan kenderaan barangan yang masih gagal menyelesaikan saman tertunggak – mereka hanya mempunyai masa sehingga 8 Julai ini sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata kenderaan yang tidak melangsaikan saman dalam tempoh diberikan akan disenarai hitam dan dilarang berada di jalan raya selepas tarikh tamat tersebut.

“Kita beri jaminan tepat jam 12 tengah malam hari terakhir itu, pasukan JPJ akan berada di jalan raya bagi mengambil tindakan terhadap kenderaan terbabit yang dikesan gagal melangsaikan saman tertunggak,” katanya.

Menurut beliau, pengumuman saman yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pada Jumaat lalu telah mendorong ramai pengendali syarikat tampil membayar saman secara berperingkat.

“Memang kita sudah bersedia ke arah itu. Setakat ini selepas pengumuman saman dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Jumaat lalu, pengendali syarikat setakat ini berebut-rebut tampil membayar saman berkenaan," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan mana-mana syarikat yang meragui jumlah saman diterima supaya segera hadir ke pejabat JPJ berhampiran bagi membuat semakan terperinci.

“Jika ada syarikat merasakan jumlah saman yang dikeluarkan tidak selari dengan maklumat diperoleh mereka, mereka boleh datang ke pejabat JPJ terdekat untuk membuat pemeriksaan lanjut. Boleh jadi saman mereka sebenarnya lebih banyak jika pemeriksaan lanjut dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Setia JPJ Malaysia yang diadakan di Universiti Malaysia Kelantan, semalam. Turut hadir, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan.

.

+ - reset