TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SKSPS capai had maksimum, MAHIMA rayu kerajaan tambah kuota lindungi pekerja rumah ibadat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Jun – Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dilancarkan Kerajaan MADANI kini mencapai tahap maksimum pencaruman, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak yang masih belum berpeluang menyertainya, termasuk golongan pekerja rumah ibadat.

Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), Datuk N. Sivakumar berkata, perkembangan itu mengejutkan kerana ramai yang masih belum mengetahui kewujudan skim tersebut meskipun ia memberi manfaat besar.

“Kerajaan MADANI telah melancarkan Program Subsidi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah PERKESO... pemberian perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta 789 ini diyakini akan memberi perlindungan kepada orang berinsurans bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan,” katanya.

MAHIMA sebelum ini bercadang untuk memanfaatkan skim itu bagi memastikan pekerja-pekerja kuil seperti pendeta, pemain muzik, kerani, pekebun, pemasak dan pencuci diberikan perlindungan sewajarnya melalui pelan caruman tahunan RM232.80, dengan subsidi kerajaan hampir 70 peratus atau RM162.70.

Namun, rancangan itu tidak dapat direalisasikan kerana skim bernilai RM100 juta itu telah mencapai kuota maksimum.

“Apa yang menyedihakan saya ialah ramai pekerja kuil, warganegara Malaysia tidak mengetahui kewujudan program ini dan masih mengharapkan kerajaan akan menyuapkan semua. Tidak ada inisiatif sendiri dan pengetahuan am dengan apa yang sedang berlaku di arena ibu pertiwi mahupun di dunia,” katanya.

Beliau menyeru Menteri Sumber Manusia agar menambah kuota pencaruman SKSPS bagi tahun 2025 supaya lebih ramai dapat menikmati manfaat skim tersebut.

“Saya menyeru agar Menteri Sumber Manusia (KESUMA) untuk mengambil langkah progmatik, menambahkan kuota pencaruman untuk tahun 2025 kerana ramai lagi yang belum merasai kelebihan program ini,” katanya lagi.

Tambahnya, MAHIMA bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan pihak KESUMA serta menyatakan kesediaan menjadi rakan strategik dalam semua program anjuran kementerian, khususnya dalam memberi pendedahan kepada komuniti rumah ibadat.

“Bimbang saya, para pekerja di rumah – rumah ibadat tidak diberi exposure mengenai dasar, peluang, skim dan inisiatif yang diberikan oleh kerajaan kerana mereka tidak dimaklumkan oleh badan – badan yang sepatutnya bertindak segera setelah pengumuman diberikan,” ujarnya.

MAHIMA turut menyatakan komitmen untuk terus memperjuangkan kebajikan pekerja rumah ibadat demi kecemerlangan seluruh rakyat Malaysia.

+ - reset