TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penunggang motosikal maut rempuh bas rosak berhenti di lorong kecemasan di Kulai

By
|
Kongsi
image

 

KULAI 30 Jun - Seorang lelaki berusia 21 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah bas yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan, dalam kejadian di Kilometer 18.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 1.50 tengah hari itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas berusia 38 tahun telah memberhentikan bas jenis Scania di lorong kecemasan selepas mengalami masalah enjin.

“Mangsa dipercayai tidak menyedari bas tersebut sedang berhenti menyebabkannya terlanggar bahagian belakang kenderaan itu.

“Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan.

+ - reset