Berita Berita
Menteri Pelancongan beri amaran keras kepada pengusaha pelancongan, arah siasatan menyeluruh tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian

KUALA LUMPUR 30 Jun– Insiden tragis bot terbalik yang mengorbankan tiga nyawa di perairan Pulau Perhentian, Terengganu, baru-baru ini mengundang kemarahan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing yang memberi amaran tegas kepada semua pengusaha pelancongan agar tidak memandang ringan isu keselamatan pelancong.
Susulan kejadian pada 28 Jun lalu yang turut menyebabkan sembilan cedera dan seorang kritikal, MOTAC telah diarahkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap agensi dan pengendali yang terlibat.
Menurut Tiong, siasatan awal mendapati pelbagai pelanggaran undang-undang telah berlaku termasuk pengoperasian bot dengan lesen yang sudah tamat tempoh serta kegagalan mematuhi langkah keselamatan asas.
“Gagal memastikan penumpang memakai jaket keselamatan dan paling membimbangkan, pemandu bot didapati positif dadah. Individu ini bukan sahaja positif dadah, tetapi juga mempunyai kesalahan berkaitan dadah sebelum ini.
“Bagaimana agensi pelancongan sanggup mengupah individu sedemikian membawa penumpang dan ini jelas satu kecuaian merisikokan keselamatan nyawa manusia.
“Saya mengeluarkan amaran keras kepada semua pengusaha pelancongan dalam pada mencari keuntungan, keselamatan pelancong tidak boleh dikompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan bot yang membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun itu telah terbalik sewaktu dalam perjalanan, menyebabkan kekecohan dan kehilangan nyawa yang tidak sepatutnya berlaku.
Tambah beliau, kejadian seumpama ini bukan kali pertama dan telah memberi kesan langsung kepada imej pelancongan negara.
“Telah banyak insiden berlaku di Malaysia yang menjejaskan sektor pelancongan dan merosakkan reputasi negara ini.
“Dalam beberapa kes telah mendorong kerajaan asing mengeluarkan amaran perjalanan terhadap destinasi tertentu di Malaysia.
“Jika dibiarkan, ini akan menjejaskan industri pelancongan kita dalam jangka masa panjang,” ujar beliau lagi.
MOTAC kini dalam usaha meneliti semula garis panduan pengoperasian bot pelancongan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang cuai.
Berita berkaitan
June 30, 2025, 6:33 pm
Jangan ada campur tangan luar dalam pemilihan Ketua Hakim Negara
June 30, 2025, 6:19 pm
Tindakan beku aset Tun Daim ibarat penderaan - Tun M
June 30, 2025, 6:14 pm
Objek disyaki bom cetus kesesakan 15 kilometer di PLUS arah selatan
June 30, 2025, 5:56 pm
Majlis Peguam gesa kerajaan umum segera pelantikan Ketua Hakim Negara
June 30, 2025, 5:50 pm
Mohd Shuhaily dilantik Ketua Pengarah AKPS mulai 1 Julai
June 30, 2025, 5:13 pm
Puad Zarkashi nasihat Rafizi: "Jangan bakar lebih-lebih, takut berakhir di penjara"
June 30, 2025, 5:08 pm
Lelaki Rohingya kantoi sorok 72 paket minyak masak subsidi di Marang
June 30, 2025, 4:56 pm