TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suri rumah ditahan disyaki dera, abai anak angkat diambil sejak bayi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA SELANGOR 30 Jun - Polis menahan seorang suri rumah berusia 54 tahun kerana disyaki mendera dan mengabaikan anak angkatnya, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, dalam kejadian di Taman Bendahara di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, penahanan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung insiden itu pada jam 6.40 petang, semalam.

"Mangsa adalah seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang diambil sebagai anak angkat oleh suspek dan suaminya sejak bayi lagi.

"Suspek adalah seorang suri rumah berusia 54 tahun," katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurut Azaharudin, hasil maklumat yang diterima membawa kepada penahanan wanita itu oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor kira-kira jam 8.15 malam pada hari sama.

Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk menerima rawatan lanjut.

"Permohonan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama enam hari bermula hari ini hingga 4 Julai bagi membantu siasatan," jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

+ - reset