TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tanjung Aru jadi tumpuan: program Gempur Sabah selesai dengan kejayaan

By
|
Kongsi
image

TANJUNG ARU 30 Jun - Program Gempur Sabah anjuran Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional selesai dengan jayanya selepas tiga hari berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Program yang diketuai Pengarah Pilihan Raya AMANAH Nasional, YB Mohd Sany Hamzan itu turut disertai pimpinan AMANAH Sabah yang diketuai Datuk Lahirul Latigu, dengan matlamat utama untuk memperkukuh jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang serta mendekati masyarakat secara langsung.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah dilaksanakan antaranya lawatan ke rumah warga orang kurang upaya (OKU), kunjungan ke gerai peniaga kecil, Balai Bomba dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), selain penyerahan sumbangan kepada pelajar cemerlang serta keluarga memerlukan menerusi inisiatif Bakul Rahmah.

Program turut melibatkan golongan belia melalui penganjuran klinik bola sepak dan penyampaian peralatan sukan sebagai sokongan kepada pembangunan sukan komuniti.

Menurut Mohd Sany, selain memberi bantuan, objektif utama program ialah untuk mendengar sendiri suara rakyat dan membina hubungan yang lebih erat dengan komuniti setempat.

“Kami tidak datang hanya untuk memberi, tetapi juga untuk belajar. Banyak perkara yang dikongsi oleh penduduk, daripada cabaran hidup seharian hinggalah harapan terhadap masa depan negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa cawangan baharu berjaya ditubuhkan sepanjang program berlangsung, sebagai usaha memperkukuh struktur akar umbi parti di Sabah.

“Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional akan terus menyokong usaha AMANAH Sabah dari segi latihan, strategi dan penggerakan bagi memastikan persiapan PRN dilakukan dengan teratur dan rapi,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan program itu membuktikan kesungguhan dan komitmen jentera AMANAH Sabah serta keterbukaan masyarakat Tanjung Aru dalam menerima kehadiran parti.

“Kita akan teruskan gerak kerja ini dengan semangat yang konsisten, tenang dan tersusun demi mencapai kemenangan bersama,” katanya. - Media Telus.

+ - reset